"Apakah menteri Kabinet yang sesetengahnya ketua parti komponen BN akan menyokong RUU 355...jika menentang apakah akan digugurkan daripada Kabinet atau mereka sukarela meletakkan jawatan?
PAS boleh mencipta sejarah hari ini atau esok kerana usul
Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355
akan berjaya dibentangkan sama ada hari ini atau esok.
Ia juga akan menjadi pencetus kepada kerjasama UMNO-PAS
yang akan menjadi kenyataan selepas ini bagi kepentingan Pilihanraya Umum ke-14
(PRU14) dan kepentingan umat Islam.
Usaha PAS melobi dan menyokong kerajaan dalam banyak
perkara mendatangkan kemenangan politik dan moral kepada PAS.
Kebimbangan PAS bahawa usul itu akan tersekat kini tiada
lagi. Pada hari pertama sidang parlimen Oktober lalu, usul persendirian yang
dibawa anggota parlimen Marang yang juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi
Awang berada pada giliran nombor empat.
Dari giliran keempat, usul Hadi bagi membentangkan rang
undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa
Jenayah) itu, diturunkan ke tempat ketujuh dalam kertas aturan mesyuarat.
Ia kemudian diturunkan apabila lebih banyak usul kerajaan
dimasukkan dalam senarai apabila usul kerajaan didahulukan berbanding usul
persendirian.
Berbaloi Hadi menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak, termasuk dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu derma RM2.6
bilion, tiada kecurian dan penyelewengan wang rakyat, serta tidak menyertai
BERSIH 5.0 terbaru, serta banyak lagi.
Kenyataan-kenyataan yang dilihat menyokong, menepis
tanggapan pembangkang lain dan membela Perdana Menteri kini berbalas apabila
Akta 355 dapat dibentangkan akhirnya.
Kejayaan membawa usul RUU 355 ini adalah kemenangan
kepada PAS sebelum PRU14 dan keyakinan kepada UMNO bahawa ia kini mempunyai
rakan rapat yang akan menjamin kuasa Melayu dan Islam (untuk menjamin UMNO dan
PAS sama-sama membentuk kerajaan).
Penyatuan ini diyakini oleh UMNO-PAS untuk menggagalkan
usaha pakatan pembangkang yang bersekutu dengan bukan Islam untuk menumbangkan
kerajaan pimpinan Najib.
Malah, DAP kini semakin digambarkan sebagai parti
cauvinis, anti-Islam serta anti-Melayu, walaupun bergabung dengan PKR, AMANAH
dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pimpinan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyiddin Yassin.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi dengan penuh keyakinan mengatakan Akta 355 itu akan dapat dibentangkan
sebelum tamatnya sidang Dewan Rakyat kali ini. Sesi parlimen tahun ini akan
berakhir esok (Khamis}.
"Akan dibentangkan minggu ini, akan dibentangkan
minggu ini," katanya kepada pemberita selepas memberikan taklimat khas
kepada anggota parlimen Islam berkaitan RUU Akta 355 di bangunan sementara
Parlimen, semalam.
Turut serta memberikan taklimat ialah Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Zahid yang juga ketua whip BN menjelaskan semalam, beliau turut akan mengemukakan cadangan kepada
Perdana Menteri untuk menubuhkan jawatankuasa pemilihan (select committee) bagi
memberi penjelasan terperinci berhubung pindaan akta berkenaan.
"Oleh yang demikian, penjelasan kita bincang tadi
antaranya mengambil keputusan supaya sebuah jawatankuasa pemilihan dibentuk
yang melibatkan ahli parlimen Islam dan bukan Islam dalam jawatankuasa itu.
"Ia untuk memperincikan jika terdapat unsur tak
jelas mengenai pembahagian kuasa yang ada dalam Mahkamah Syariah dan Mahkamah
Sivil," katanya sambil menegaskan pindaan akta tersebut hanya untuk
memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah sahaja.
Tengku Razaleigh...apa reaksinya? |
Menurut anggota parlimen Bagan Datoh itu lagi, cadangan
penubuhan jawatankuasa berkenaan akan dibentangkan pada mesyuarat jemaah menteri
untuk mendapat persetujuan Kabinet.
"Saya akan bawa cadangan ini kepada perdana menteri
untuk dibentangkan di mesyuarat jemaah menteri bagi mendapat persetujuan
kabinet supaya perkara ini dapat diterima pakai kerana cadangan-cadangan yang
disebut ahli parlimen dari pelbagai parti adalah pertama kali.
"Ia satu permulaan yang baik dan kita hormati sensitiviti agama lain...dan tidaklah tujuan Marang (Abdul Hadi) untuk mempolemikkan keadaan atau mengeruhkan suasana kepelbagaian agama di negara ini," katanya lagi.
"Ia satu permulaan yang baik dan kita hormati sensitiviti agama lain...dan tidaklah tujuan Marang (Abdul Hadi) untuk mempolemikkan keadaan atau mengeruhkan suasana kepelbagaian agama di negara ini," katanya lagi.
Hadi yang dijangka akan membentangkan rang RUU itu
dijangka akan diluluskan pada bacaan
pertama dan kerajaan akan angkat untuk sesi debat pada sidang akan datang.
Untuk meluluskannya, jelas sekali memerlukan persetujuan
oleh semua ahli parlimen Islam untuk membolehkan perbahasan akan
dilakukan pada sidang parlimen sesi tahun hadapan.
Kini PAS sudah memenangi pusingan pertama dan kesediaan
UMNO untuk membukan laluan sudah tentu
menuntut sokongan PAS bagi UMNO berdepan isu penting yang mengancamnya ketika
ini.
Namun di sebalik itu, apakah tidak akan ada bantahan
daripada anggota Parlimen Islam dari pembangkang dan UMNO sendiri untuk
pengundian?
Apakah ahli Parlimen UMNO seperti Tan Sri Tengku
Razaleigh Hamzah (Gua Musang) akan turut akur atau tetap dengan pendiriannya
menentang RUU 355?
Juga sejauh ini belum dapat dipastikan apa reaksi anggota
Parlimen pembangkang terhadap usul yang akan bentangkan hari ini atau esok.
Apakah mereka tetap dengan pendirian menolak Akta 355?
Bagaimana pula dengan anggota Parlimen Barisan Nasional
(BN) bukan Islam sama ada dari Semenanjung atau Sabah dan Sarawak?
Kebimbangan tetap wujud bahawa mereka akan kekal
menentang usul ini dan kelak apa kesannya kepada keutuhan BN itu sendiri?
Parti komponen seperti MCA, Gerakan dan MIC sebelum ini
menentang dan begitu juga komponen dari Sarawak seperti Parti Pesaka Bumiputera
(PPB) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dari Sabah.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adnan Satem (gambar atas)sendiri
menentang Akta 355 dan bagaimana Menteri Kabinet yang mewaKILI parti berkenaan?
Kerajaan, UMNO dan BN berusaha untuk mendapatkan sokongan
apabila membuat cadangan penubuhan jawatankuasa untuk dibentangkan pada
mesyuarat jemaah menteri untuk mendapat persetujuan Kabinet.
Ini bermakna KONSENSUS belum ada di kalangan menteri
Kabinet, khususnya di kalangan pemimpin parti komponen BN mengenai isu ini.
Persoalannya apakah menteri Kabinet daripada pelbagai
parti semuanya akan menyokong RUU355 dan sanggup mengubah pendirian mereka?
Jika mereka menentang, apakah kesannya? Apakah menteri
berkenaan yang rata-rata Presiden kepada parti komponen penting BN digugurkan
daripada Kabinet?
Atau mereka meletakkan jawatan seperti ‘diikrarkan’
sebelum ini?
Atau apakah perkahwinan PAS dan UMNO kerana RUU 355 ini
hanya bersifat mutaah untuk kepentingan PRU14 semata-mata selepas perkara ini
difahamkan kepada rakan (komponen) mereka dalam BN?
Dr Ahmad Zahid sudah berjanji untuk melakukan apa sahaja
terhadap cadangan agar diterima oleh Kabinet dan dapat dilaksanakan dengan
jayanya.
Ini ujian penting untuk Dr Ahmad Zahid untuk membuktikan
keupayaannya dan sebarang ‘masalah’ atau mungkin ‘kekecohan’ kelak adalah
tanggungjawabnya.
Tahniah kerana berani ‘meletakkan pisau di leher’ tetapi
usaha Dr Ahmad Zahid ini jika ditakdirkan berjaya, akan membuka kepada ruang
kerjasama UMNO-PAS yang akan semakin kukuh.
Melayu dan Islam UMNO-PAS akan semakin kukuh.
Namun, apakah yang
bukan Melayu dan bukan Islam terus menyokong BN?
Apakah mereka boleh menerima UMNO yang yang kini mendapat sekutu baharu yang selama
ini dilihat oleh mereka ‘membawa suatu pendekatan’ yang dianggap bertentangan
dengan Perlembagaan?
Juga apakah mereka sanggup dan bersedia mengakui bahawa
Akta 355 itu BUKAN HUDUD dan ia semata-mata untuk kepentingan orang Islam?