"Juruaudit terbarunya, Deloitte juga terpaksa menarik diri...audit tidak dapat diselesaikan kerana dokumen yang diperlukan telah dirampas oleh polis dalam satu serbuan pada Julai tahun lalu."
Kalau dulu-dulu kes seperti ini ‘kena mandi bunga’. Ini kerana
ia bagaikan terkena ‘sumpahan’.
Apa tidaknya, selepas satu, satu pula diganti. Tidak
berkesudahan. Malah kini dengan yang ketiga juga sudah tidak menjadi. Perlu digantikan
dengan yang keempat.
Banyak alasan diberikan oleh pemiliknya tetapi yang
nyata, syarikat ini bagaikan sudah tidak ‘seelok’ seperti yang cuba
dipertahankan oleh pemiliknya dan sukar dijangka apa lagi ‘bala’ yang akan
mendatang.
Itulah yang terjadi kepada syarikat pelaburan strategik
negara – 1Malaysia Development Bank (1MDB) – apabila dimaklumkan bahawa
juruauditnya, Deloitte kini terpaksa menarik diri.
Ini baharu dalam konteks pengauditan syarikat yang kini
berdepan dengan siasatan di 10 negara, termasuk Amerika Syarikat, Switzerland,
Singapura dan di negara sendiri.
Alasan diberikan oleh Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy semalam ialah firma audit Deloitte
kini menarik diri kerana gagal menyiapkan laporan audit akaun firma pelaburan
negara bagi tahun kewangan 2015.
Akhir September lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan
Negara Tan Sri Irwan Serigar Abdullah berkata juruaudit baru untuk 1MDB akan
diumumkan tidak lama lagi. Beliau enggan mengulas mengenai soalan lain
berkaitan 1MDB.
"Saya tidak mahu respon kepada itu, terima
kasih," katanya ketika ditanya mengenai 1MDB pada sidang media di satu
majlis di Kuala Lumpur. Irwan Serigar mengetuai lembaga pengarah baru 1MDB.
Semalam, ditanya oleh pelajar pada sesi town hall di
Universiti Malaya di Kuala Lumpur - mengapa juruaudit 1MDB seringkali diubah -
beliau menjelaskan bahawa apabila syarikat asal 1MDB iaitu Lembaga Pelaburan
Terengganu (TIA) ditubuhkan, Ernst dan Young (EY) dilantik sebagai juruaudit
pertama.
Bagaimanapun, apabila TIA diambil alih oleh kerajaan
persekutuan dan menjadi 1MDB pada Julai 2009, juruauditnya diubah kerana
pemilikan syarikat juga telah berubah.
Selepas itu KMPG dilantik menggantikan EY, tetapi EY pula
menandatangani sebarang laporan tahunan 1MDB
Mengulas lanjut, Arul
Kanda terpaksa memberitahu pelajar malam tadi bahawa juruaudit terbarunya juga
terpaksa menarik diri.
Arul Kanda memberitahu sesi itu audit tidak dapat
diselesaikan kerana dokumen yang diperlukan telah dirampas oleh polis dalam
satu serbuan pada Julai tahun lalu.
Polis pula dijadikan alasan? Apakah 1MDB tidak mempunyai salinan dokumen atau dokumen lain untuk sokongan?
Hakikatnya, 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) terpaksa mengunakan juruaudit Delloite selepas
The Big Three ‘gagal untuk melaksanakan kerja mereka’.
Sesi town hall di Universiti Malaya di Kuala Lumpur malam semalam. |
Sebuah blog, pada 30 Julai lalu mengulas mengenai firma
juruaudit 1MDB ini mengemukakan pertanyaan, “ Audit 1MDB - Juruaudit Antarabangsa Bermasalah Atau 1MDB Sorok 'Punca'?”
Walau apa alasan Arul Kanda, hakikatnya, Deloitte sebelum
ini pernah menyatakan hasratnya menarik diri daripada menjalankan kerja
sedemikian. Kenapa menyatakan demikian?
Ini terutamanya, selepas Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika
Syarikat pada 20 Julai lalu mengemukakan dua saman sivil untuk menyita
pelbagai aset dan harta tanah bernilai lebih AS$1 bilion.
DOJ mendakwa wang diperoleh aset dan harta itu adalah
melalui wang (1MDB) yang diselewengkan.
Ada laporan mengatakan Deloitte gagal menemui
beberapa urus niaga dan tawaran yang dijalankan dan tidak dapat membuat audit
yang ‘sebenarnya’.
Ini termasuk AS$ 3.5 bilion bayaran 1MDB kepada penipuan
Aabar Investment PJS Limited, selain AS$ 1.56 bilion pelaburan 1MDB Global
Investment Limited dalam beberapa dana pelaburan dianggap ‘kabur’.
Malah, kenyataan Deloitte yang merujuk kepada apa yang
disebut melalui kenyataan yang dibuat oleh DOJ itu. mengatakan:
|
"The
complaint contains information, which, if known at the time of the 2013 and
2014 audits of 1MDB, would have impacted the financial statements and
affected the audit reports and, accordingly, those audit reports issued by
Deloitte Malaysia dated March 28, 2014 and Nov 5, 2014 respectively in
connection with the 2013 and 2014 financial statements of 1MDB should no
longer be relied upon." (Deloitte, 27 July, 2016)
|
Dengan notis
Deloitte untuk menarik diri, bagi melepaskan tanggungjawabnya
sebagai juruaudit dana kerajaan Malaysia itu, menjadikannya firma audit ketiga
yang menamatkan khidmat dengan 1MDB sejak penubuhannya pada 2009.
Ada laporan menyebut, 1MDB turut berminat untuk melantik
firma audit keempat terbesar PwC untuk menjadi juruaudit 1MDB?
Setakat ini firma itu mengunci mulut sama ada ia sudah
memulakan kerja untuk 1MDB atau berminat mengambil peranan sebagai juruaudit.
Laporan-laporan mengenai juruaudit 1MDB sebelum ini
mengatakan:
1. The Wall Street Journal melaporkan firma Ernst &Young (EY) ditamatkan pada 2010. Ia dilakukan oleh pemegang
saham dan Lembaga Pengarah entiti itu.. Ia dilakukan oleh pemegang saham dan
Lembaga Pengarah entiti itu.
EY adalah juruaudit pertama 1MDB yang dilantik pada 25
Mac 2009 oleh Terengganu Investment Authority dan ditamatkan kontrak pada 15
September 2010 sebelum 1MDB mengemukakan penyata kewangan pertama untuk tempoh
berakhir 31 Mac 2010. Dikatakan EY meminta untuk menyemak laporan due
dilligence yang disediakan oleh pengurusan dan laporan status hak milik
aset PetroSaudi International Ltd. (PSI) dalam syarikat usaha sama. EY juga
meminta penyata kewangan syarikat usaha sama bagi melaksanakan penilaian nilai
saksama terhadap saham, aset, liabiti dan liabiliti luar jangka syarikat
tersebut.
Firma dikatakan
melaksanakan penilaian awal dan memohon maklumat tambahan bagi
menentukan nilai jangkaan aset PSI. Perkara itu dibangkitkan semasa mesyuarat
lembaga pengarah 1MDB. Ini menunjukkan EY tidak berpuas hati dengan laporan dan
dokumen sokongan dan meminta pihak pengurusan mengemukakan lebih banyak
maklumat.
EY tidak menemui dokuman
berkaitan status pemilikan sebenar, nilai dan risiko yang berkaitan aset yang
dilaburkan oleh rakan usaha sama. EY turut membangkitkan keperluan semula nilai
aset bagi proses semakan kaedah perakaunan terhadap pertukaran ekuiti kepada
Nota Murabahah dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010 namun pada tarikh itu
1MDB tidak mempunyai dokumen yang mencukupi untuk membuktikan pemilikan aset oleh
syarikat usahasama.
Semasa mesyuarat lembaga pengarah pada 4 Oktober 2010,
dimaklumkan 1MDB PetroSaudi Ltd belum menyediakan penyata kewangan dan Ketua
Pegawai Eksekutif telah menyakin lembaga pengarah perkara itu akan dibincangkan
dalam mesyuarat akan datang. Tetapi tiada sebarang bukti menunjukkan kertas
perbincangan berhubung perkara itu pernah dibentangkan dalam mana-mana
mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.
Pendirian EY menimbulkan
situasi kurang senang kepada pengurusan 1MDB dan pemegang saham serta lembaga
pengarah memutuskan menamatkan perkhidmatannya.
2. Berikutan itu, pada 7 Apr 2016 lalu, laporan
Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) menyebut, bekas juruaudit 1MDB, Ernst &
Young (EY) dan KPMG telah digantikan selepas berkeras melihat dokumen mengenai
beberapa urusan dana syarikat itu. Akaun-akaun 1MDB dari 15 Sptember 2010
hingga 2012 diaudit oleh KPMG. Perkhidmatan syarikat itu bagaimanapun
ditamatkan pada Disember 2013. Menurut laporan jawatankuasa kira-kira Wang
Negara berkaitan 1MDB, khidmat KPMG ditamatkan selepas enggan menandatangani
akaun-akaun tanpa perincian berkaitan pelaburan bernilai AS$$2.32 bilion.
KPMG dilaporkan dipecat
selepas bertelingkah pendapat megenai nilai pelaburan 1MDB dalam Bridge GLobal
SPC melalui Brazen Sky Ltd. KPMG telah memutuskan untuk mengeluarkan laporan
audit berkelayakan 1MDB untuk laporan kewangan 2013, tetapi firma audit itu
tiba-tiba diganti dengan Deloitte.
Berdasarkan minit mesyuarat antara 1MDB dan Tetuan KPMG
pada 29 November 2013, Ketua Eksekutif 1MDB pada masa itu Mohd Hazem Abd Rahman
cuba meyakinkan Tetuan KPMG mengenai pelaburan berkenaan. Bagaimanapun, Tetuan
KPMG tidak berpuas hati jika tiada apa-apa keterangan berdokumen.
Pada mesyuarat lembaga 1MDB pada 9 Disember 2013, Hazem
dimaklumkan bahawa Tetuan KPMG tidak berpuas hati dan akan mengadakan mesyuarat
untuk memutuskan sama ada maklumat oleh pengurusan 1MDB boleh diterima dan
mencukupi bagi maksud audit, atau untuk mengeluarkan pendapat berkelayakan.
Berikutan itu, KPMG telah memilih untuk mengeluarkan
pendapat yang berkelayakan, menurut laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen
itu. Oleh kerana pertikaian semakin meningkat antara KMPG dan 1MDB, laporan itu
berkata 1MDB memberitahu KMPG untuk mendapatkan penjelasan daripada pengurus
dananya Bridge Global Absolute Return Fund SPC (Bridge Global) di Kepulauan
Cayman.
3.
Deloitte Malaysia yang kemudian dilantik
menggantikan KPMG menjelaskan, dalam aduan yang melibatkan beberapa maklumat,
jika diketahui pada 2013 dan 2014, akan menyebabkan wujud perbezaan dalam
laporan kewangan dan laporan audit olehnya terhadap 1MDB.
Deloitte dikatakan mengesahkan
audit untuk tahun kewangan 2013 dan 2014 dengan kedudukan di mana
pihaknya tidak mendapat maklumat sebenar sebenar beberapa maklumat yang dikatakan
sebagai ‘kabur’. Berikutan itu, standard audit Deloitte menjadi tanda tanya
sejak 2015 selepas 1MDB didapati sukar memenuhi obligasi membayar faedah dan
balik hutangnya.
Pada 26 Jul 2016, 1MDB
berkata penyata kewangan 2013 dan 2014 yang ditandatangani Deloitte pada 28 Mac
2014 dan 5 November 2014 tidak boleh lagi digunakan sehingga dakwaan dibuat Jabatan
Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) ditentukan di mahkamah.Bagaimanapun kata
syarikat itu tindakan berkenaan diambil hanya sebagai "langkah
berjaga-jaga".
Pada 20 Julai lalu, DOJ mengumumkan bahawa ia telah
memfailkan tindakan undang-undang sivil untuk menyita dan merampas aset
bernilai lebih AS$1 bilion, yang didakwa dicuri dari 1MDB yang diilhamkan oleh
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Timbalan Pengarah, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Andrew
McCabe berkata, rakyat Malaysia telah ditipu pada skala sangat besar dalam skim
yang merangkumi sebahagian besar dunia.
Untuk rekod, aduan
DOJ turut membabitkan beberapa nama disebut termasuk anak tiri Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz dan hartawan kelahiran Malaysia, Low
Taek Jho yang lebih dikenali dengan nama Jho Low.
Seorang individu lain juga disebut namun identitinya
tidak didedahkan kecuali dirujuk sebagai Malaysian Official 1.
DOJ mahu menyita lebih AS$1 bilion aset yang dikatakan
berpunca daripada 1MDB walaupun pihak Malaysia mendakwa ia tiada kena
kena dengan 1MDB. Lembaga 1MDB bagaimanapun berkata mereka yakin tiada sebarang
salah laku berlaku.
Laporan menyebut, 1MDB
kini sedang mencari juruaudit baru
selepas Deloitte menyatakan keinginan mereka menarik diri pada 26 Februari
lalu.
Bagaimanapun, kata syarikat berkenaan, Deloitte kekal
sebagai juruaudit 1MDB, termasuk untuk anak syarikatnya TRX City Sdn Bhd,
Bandar Malaysia Sdn Bhd dan Edra Bhd sehingga firma baru dilantik. (Kedudukan
ini disahkan oleh Arul Kanda semalam).
Untuk laporan audit akaun 2015, 1MDB diberikan
tarik lanjutan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia sehingga 30 September
2016 lalu.
Walau apa alasan diberikan Arul Kanda, Deloitte Malaysia,
berpendapat maklumat dalam saman DOJ untuk membuat rampasan aset berkaitan
1MDB, menjejaskan laporan audit syarikat pelaburan Deloitte pada tahun 2013 dan
2014. Deloitte turut mengulanginya dengan mengatakan bahawa audit 1MDB bagi
tahun itu akan memberi kesan dalam tindakan undang-undang DOJ.
Pada forum semalam, Arul Kanda menegaskan Deloitte
meminta dilepaskan daripada tugas itu kerana mereka tidak dapat menyiapkan
audit selepas dua tahun, walaupun mereka adalah juruaudit terkenal.
"Kita tidak boleh mengaudit akaun selepas rekod
syarikat diambil oleh pihak polis semasa serbuan pada Julai 2015. Semua rekod
syarikat telah diambil untuk siasatan lanjut.
"Jadi, walaupun semua akaun telah disediakan,
juruaudit memerlukan dokumen syarikat untuk menjalankan audit. Tanpa dokumen itu,
audit tidak dapat dijalankan,” tegasnya.
Mengulas lanjut Arul Kanda mengulangi, Deloitte hanya menarik diri daripada menjadi
juruaudit bagi syarikat induk 1MDB, tetapi masih menjadi juruaudit bagi projek
Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange milik firma pelaburan negara itu.
Kini terpulanglah kepada rakyat untuk menilai sejauh mana
ketelusan dan punca firma juruaudit digantikan berkali-kali.
Apakah jika dilantik, firma juruaudit akan tunduk kepada
kehendak lembaga pengarah 1MDB atau aka nada pertelingkahan pendapat mengenai
perkara-perkara ‘meragukan’ seperti sebelum ini?
Dengan kegagalan akaun diaudit, selain berbagai perkara
yang dilaporan berlaku ketika proses pengauditan dilakukan terhadap syarikat
itu sebelum ini, apakah 1MDB dapat
mengatakan ia ‘telus mulus’ dan tiada perkara yang cuba dilindungi mengenai
perkara-perkara tertentu dalam syarikat berkenaan?
Yang pasti, iau pengauditan ini tidak terhenti dengan
penjelasan Arul Kanda semalam.
Banyak lagi perkara yang akan dipertikaikan dan menjadi
tugas pengurusan 1MDB untuk menjelaskannya kepada rakyat, kerajaan dan mungkin
pihak asing.