Tuesday, September 20, 2016

DR AHMAD ZAHID SEDANG DIPERSIAPKAN...JANGAN TUDUH NAJIB

Dr Ahmad Zahid sedang berucap di UNGA semalam.

(Najib) mahu beri pendedahan dan kepercayaan kepada saya untuk berada di pentas antarabangsa...Alhamdulillah saya tidak riak dan takabur, ia menjawab sendiri fitnah dan kata-kata negatif yang dipalingkan kepada saya.”
- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Hari ini dilaporkan Timbalan Perdana Menteri mengucapkan ‘Terima kasih Najib’ kerana memberi beliau peluang berucap di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Itulah sewajarnya dilakukan oleh seseorang yang bijak mengenang  budi dan tahu arah politik yang sedang dibentuk oleh ‘bosnya’, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh membaca kenapa beliau dihantar ke New York mewakili Perdana Menteri.

Dr Ahmad Zahid tiba di New York pada Sabtu mengetuai perwakilan Malaysia ke sesi ke-71 Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York itu.

Soal orang lain mahu membuat penekaan atau ramalan, itu soal lain. Biarkan...

Jika ia baik untuk diri Dr Ahmad Zahid dan negara kenapa perlu dipertikaikan.


Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan memangku jawatan Timbalan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid dilihat sedang ‘disediakan’ untuk menggantikan Perdana Menteri jika apa-apa berlaku.

Rakyat kena faham, Perdana Menteri kini dalam keadaan yang sibuk dengan persediaan untuk membentangkan Bajet 2017 yang meletakkan ‘rakyat Malaysia’ sebagai yang didahulukan.

Selain itu banyak isu politik dan pengurusan ekonomi negara perlu didahulukan.

Tiada ada kaitan langsung dengan majlis pelancaran kempen ‘Mulakan Hari Anda Dengan Madu’ dan ‘Kelulut Walk 2016’ di Putrajaya.

Takut untuk keluar negara? Tidak benar kerana Najib tiada kaitan langsung dengan laporan oleh Jabatan kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) sementara isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor langsung tidak ada dalam laporan. Hanya Riza Aziz yang ada disebut.

Jadi, jangan tuduh Najib sembarangan.

Apapun, bukan skrip Najib atau bukan skrip Dr Ahmad Zahid membolehkan beliau ke persidangan UNGA ke 17 itu tetapi ia suatu ketentuan.


“Alhamdulillah dengan pendedahan yang diberikan Perdana Menteri, saya tidak perlu riak dan takabur, ia menjawab sendiri fitnah dan kata-kata negatif yang dipalingkan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung sesetengah pihak yang mempersoalkan perwakilan beliau pada persidangan tersebut dalam program Bicara Khas Bersama Timbalan Perdana Menteri di RTM malam tadi.

Beliau turut menjelaskan bukan sesuatu perkara luar biasa apabila beliau selaku timbalan perdana menteri ditugaskan mengetuai delegasi negara kerana banyak negara lain yang menghantar wakil bagi mewakili ketua negara dan kerajaan masing-masing.
  
Bagi Dr Ahmad Zahid, peluang ini ialah satu pengiktirafan dan tanggungjawab buat dirinya, untuk  pendedahan kepadanya untuk berada di pentas antarabangsa.

“Pada hemat dan bacaan saya, beliau (Najib) mahu memberi pendedahan dan kepercayaan kepada saya untuk berada di pentas antarabangsa.

Ini  kerana ada yang mempertikaikan saya masih belum layak untuk menjadi pembantu beliau kerana saya tidak mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa.

“Padahal sewaktu saya jadi Menteri Pertahanan saya mempengerusikan banyak majlis yang dihadiri menteri-menteri pertahanan antarabangsa dan juga di beberapa persidangan antarabangsa lain,” tegasnya.


Ahmad Zahid tidak perlu bimbang kerana untuk rekod, ada Perdana Menteri sebelum ini ada yang tidak mendapat pendedahan antarabangsa secara meluas pun ketika menjadi menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Mungkin Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Abdullah Ahmad Badawi mendapat pendedahan sebegini kerana banyak terlibat dengan rundingan antarabangsa.

Malah rekod sudah dicipta semalam (20 September), apabila pemimpin dunia pada UNGA menerima pakai Deklarasi New York bagi Pelarian dan Migran, menzahirkan kesungguhan politik untuk menangani isu-isu berkaitan membabitkan kumpulan itu dan berkongsi tanggungjawab bagi pergerakan lebih besar dalam skala global.

Menariknya, Dr Ahmad Zahid mewakili Malaysia hadir dan berucap pada mesyuarat peringkat tinggi PBB mengenai isu menangani pemindahan besar-besaran pelarian dan migran itu bertujuan merangsang semua negara bertindak secara lebih berperikemanusiaan dan pendekatan yang selaras.

Sudah pasti Timbalan Perdana Menteri akan bersama-sama Presiden UNGA, Peter Thomson bagi  mengusulkan komitmen keahlian untuk memulakan proses yang membawa kepada inisiatif global mengenai migrasi serta menyokong inisiatif global ke atas pelarian.

Juga kehadiran Dr Ahmad Zahid itu penting kerana Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut melancarkan kempen baharu, 'Together - Respect, Safety dan Dignity for All' bagi mengatasi masalah kebangkitan xenophobia.

Yang jelas dan nyata, kehadiran Dr Ahmad Zahid berbaloi kerana semalam juga Ban Ki-moon dan  Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) William Lacy Swing menandatangani perjanjian baharu yang membolehkan IOM menjadi organisasi berkaitan bagi PBB.


Ini akan mengukuhkan pendekatan menyeluruh global mengenai migrasi yang Malaysia tidak terkecuali.