Wednesday, March 12, 2014

MISTERI MH370 - APABILA SESETENGAH MAKLUMAT BOLEH DIBERITAHU, SESETENGAH TIDAK...


Seluruh dunia sedang memerhatikan Malaysia.

Demikian tegas Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dalam fecebooknya kelmarin. Keluarga dan rakan-rakan 227 penumpang dan 12 anak kapal juga memerhatikan setiap langkah diambil pihak berkuasa.

Pakar pnerbangan mengatakan tidak mungkin pesawat yang mempunyai sayap selebar 200 kaki terhempas atau hilang di udara begitu sahaja.

Sebarang langkah yang silap akan menghilangkan keyakinan dan kepercayaan mereka bahawa Malaysia bersungguh-sungguh dalam misi mencari dan menyelamat ini.

Perdana Menteri hari ini menegaskan beliau amat memahami perasaan keluarga penumpang dan krew pesawat berkenaan. Mereka jelas tidak berpuas hati melainkan mereka mendapat perkhabaran yang tepat tentang nasib orang tersayang.

"Keluarga yang terlibat juga perlu sedar ini satu kejadian yang tak diduga sama sekali dan kita kena faham bahawa segala usaha sedang dilakukan dan secara bersungguh-sungguh. Macam mana pun sebagai orang Islam, kita kena terima hakikat bahawa Allah yang menetukan segala-galanya. Ujian Allah ini, ketika kita sedang senang dan mewah pun diuji, ketika kita menghadapi musibah atau balapun kita diuji," katanya.

Datuk Seri Najib Razak turut mengajak rakyat Malaysia bersatu hati dan bersama-sama menyokong segala usaha habis-habisan yang sedang dilakukan untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak Sabtu.


Najib mengingatkan bahawa bagi umat Islam, mereka diajar supaya menerima hakikat bahawa Allah menentukan segala-galanya, dan perlu menerima qada dan qadar Ilahi.

"Kita perlu menghadapi ujian besar Allah ini dengan penuh ketenangan, kita mesti berusaha sedaya upaya kita, dengan segala kemampuan dan kekuatan yang ada pada kita. Ini yang sedang diusahakan habis-habisan oleh kerajaan," katanya. Najib berkata walaupun dengan segala kecanggihan teknologi yang ada, akhirnya umat Islam perlu menerima bahawa mereka hanyalah manusia biasa yang lemah dan kerdil.

"Sememangnya pesawat Boeing 777 antara yang paling canggih yang ada track record amat baik. Kita mempunyai segala pengalaman dalam pengendalian pesawat ini, tapi akhirnya kita kena terimalah, kita ni manusia biasa (yang) lemah dan kerdil, kepada Allah juga kita berserah," katanya.

Najib menegaskan bahawa kerajaan dengan bantuan sembilan buah negara dan berbekalkan peralatan yang canggih, bertungkus-lumus dalam usaha mengesan pesawat berkenaan. "Kerajaan lakukan segala-galanya (termasuk) tambah aset, pesawat dan kapal dengan peralatan canggih, dengan sonar dan sebagainya dan mudah-mudahan saya yakin Insya-Allah lambat laun kita akan jumpa juga.

"Soal bila, tapi dalam keadaan sekarang kita terpaksa banyak bersabar dan berdoa," katanya.


Sejauh ini amat nyata Malaysia berdepan dengan kesukaran untuk menjelaskan kepada negara-negara lain bagaimana mereka akhirnya dapat mengesan pesawat MH370 berpatah balik dan dapat dikesan sehingga 2.40 pagi pada Sabtu, iaitu waktu sama semasa MAS mengatakan buat kali pertama mengenai kehilangan pesawat itu. Apa yang pasti, nyawa 239 orang masih dalam bahaya sehingga ia ditemui.

Masa terus terbuang sehingga Malaysia bekerjasama dan mengikut nasihat Beijing untuk memberitahu apa yang mereka tahu tentang pesawat MH370. Ada laporan mengatakan kesabaran semua pihak kini sudah semakin menipis dengan percanggahan pelbagai maklumat berkenaan kehilangan pesawat MH370.

Menurut laporan itu mood rakyat Malaysia sekarang berubah daripada bersabar dalam misi pencarian MH370 yang membawa 239 penumpang kepada berasa malu dan marah kerana percanggahan maklumat tentang penumpang, bagasi dan maklumat disembunyikan mengenai kedudukan terakhir pesawat yang diketahui.

Apakah ini menggambarkan ada maklumat disembunyikan?

Persoalan juga kenapakah  percanggahan maklumat yang berlaku? Ataranya:

1. Ada lima penumpang menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 777-200ER untuk ke Beijing awal pagi Sabtu tetapi bagasi mereka dipunggah masuk kerana tidak muncul untuk menaiki pesawat.

Sehingga Isnin, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengatakan ia berlaku dan bagasi dipunggah masuk dan melepasi pemeriksaan keselamatan. Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengatakan ia tidak berlaku dan MAS kemudiannya mengesahkannya pada sebelah petang. Mengapa pegawai-pegawai MAS tidak memberikan penjelasan serta merta semasa Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman mendedahkan perkara itu sebelum ini?

2. Pendedahan kemungkinan pesawat penumpang itu mungkin berpatah balik dan terbang ke Selat Melaka apabila hilang daripada radar?

Ada pihak bertanya mengapa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengambil masa begitu lama untuk berkongsi maklumat dengan pasukan mencari dan menyelamat serta orang awam? Maklumat disembunyikan ini menyebabkan semua pihak mencari MH370 di tempat yang salah. Penyembunyian maklumat menyebabkan orang ramai tertanya-tanya akan langkah janggal untuk mencari di Lautan Andaman, Selat Melaka dan kawasan sempadan antara Malaysia dan Thailand.


Semalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan mereka tidak menerima sebarang maklumat mengenai isyarat berpatah balik Boeing 777-200ER sebagaimana yang dikatakan oleh TUDM. Sehingga semalam Vietnam mengatakan akan menambah lebih banyak kapal dalam misi mencari dan menyelamat intensif untuk mencari pesawat MH370.

3. Terdapat pula misteri dua warga Iran yang menggunakan pasport curi warga Itali dan Austria bagi perjalanan ke Eropah melalui Beijing.

 Polis antarabangsa Interpol mengatakan kedua-dua lelaki itu menggunakan pasport asal ketika meninggalkan Iran untuk ke Malaysia sebelum menggunakan pasport curi dan menaiki pesawat MH370 untuk ke Beijing pada 8 Mac. Imigresen Malaysia mengatakan kedua-dua lelaki itu menggunakan pasport curi untuk memasuki Malaysia pada 28 Februari. Namun, Interpol pula mengatakan mereka masuk ke Malaysia menggunakan pasport Iran. Siapa yang betul? Apakah pertukaran pasport itu berlaku di atas pesawat?

4. Pendapat orang awam, khususya rakyat Kelantan dan Terengganu kini turut diberikan perhatian.

Seorang petani yang berasal dari Tumpat, Kelantan mendakwa terlihat sebuah pesawat terbang rendah sekitar jam 2 pagi pada hari pesawat MH370 dilaporkan hilang, demikian lapor Astro Awani. Ibrahim Konok mendakwa beliau melihat kesan kebakaran pada ekor sebuah pesawat selama lima minit semasa berada di ruang angkasa sewaktu dia menanam lada di ladang semaian terbuka. “Pakcik pun melilau tengok atas ni nampak api keluar (hak) dekat belakang sekali. Di ekor dia tu. Nampak pelik kapal terbang tu. Ia terus terbang ke laut. Ke Pantai Tujuh. Pakcik tengok sampai habis rokok sebatang di tangan,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Ibrahim, 59, turut mendakwa terlihat lambang Malaysia Airlines (MAS) di ekor pesawat sebelum hilang daripada penglihatan kira-kira lima minit kemudian. Mendengar tentang berita kehilangan pesawat MAS itu, Ibrahim membuat laporan polis pada hari berikutnya.


Sementara lapan penduduk di Kampung Pantai Seberang Marang di Marang mendakwa mendengar bunyi dentuman yang kuat pada pagi Sabtu lalu datang dari timur laut Pulau Kapas, kemungkinan ada kaitan dengan pesawat MAS MH370 yang hilang. Berikutan itu mereka membuat laporan di ibu pejabat polis Daerah Marang kira-kira pukul 10.30 pagi semalam. Alias Salleh, 36, berkata pada pukul 1.20 pagi berkenaan ketika beliau bersama tujuh lagi rakannya sedang bersantai duduk di bangku kira-kira 400 meter dari pantai Marang, tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi kuat seperti kipas kapal terbang.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Mohd Yusri Mohd Yusof, 34, berkata bunyi yang kuat dan agak pelik itu pada awalnya disangkakan fenomena tsunami. Mohd Yusri turut mendakwa beberapa kawannya termasuk pemancing dan nelayan turut mendengar bunyi aneh berkenaan dari arah pantai.

Tidak diketahui sejauh mana kerajaan atau pihak berkuasa menggunakan ‘maklumat rakyat’ ini untuk dijadikan petunjuk.

China turu menggunakan lebih banyak sumber dan 10 statelit untuk memantau kawasan tersebut bagi mencari pesawat penumpang yang membawa dua pertiga warganegaranya.

Adakah satu perkara yang tidak munasabah jika China marah dan meminta Putrajaya untuk lebih terbuka dengan maklumat pesawat MH370 yang hilang? Adakah ia sesuatu yang mengejutkan jika Vietnam meminta perkara sama?

4. Kita juga tidak dimaklumkan hingga kini, ‘apa jadi’ dengan berita kononnya keluarga penumpang diminta bersiap sedia untuk diterbangkan ke satu destinasi yang tidak diumumkan.

Diterbangkan ke mana? Yang pasti cuma keluarga penumbang China diterbangkan ke sini.

Persoalannya, apakah kita akan disogokkan dengan lebih banyak percanggahan maklumat atau mungkini maklumat disembunyikan dan akan terbongkar tidak lama lagi?

Juga pertanyaan ialah apakah kerajaan dan agensi terbabit tidak memberitahu sesetengah maklumat kepada awam, sebaliknya mungkin kepada keluarga penumpang?

Apakah benar telahan Clive Kessler, Profesor Emeritus Sosiologi dan Anthropologi di University New South Wales di Sydney yang mengataka, “Kerajaan Malaysia cuba menyorok kebenaran dalam pencarian pesawat MAS yang hilang.”

Kata Prof berkenaan pentadbiran Najib menghantar mesej bahawa rakyat perlu membenarkan kerajaan supaya ‘kerajaan memberitahu rakyat apa yang mereka ingin tahu, bila mereka perlu mngetahuinya dan tidak mungkin sebelumnya (sebelum kerajaan beritahu).

Selain itu, apakah kita perlu terus menunggu dan tertanya-tanya selama lebih 24 jam sebab-sebab perluasan misi mencari dan menyelamat di pantai Sumatera dan Lautan Andaman hanya kerana kenyataan Ketua Pengarah DCA, Azharuddin mengatakan: “Ada sesetengah perkara saya boleh beritahu anda dan ada sesetengah perkara tidak boleh.”


Lebih penting lagi apakah penangguhkan perkongsian maklumat ini akan menyebabkan misi mencari dan menyelamat 239 penumpang dalam pesawat MH370 yang sudah hilang lebih 100 jam sekarang menjadi lebih sukar?

Atau kita mematuhi `saja seruan Perdana Menteri supaya "Kita kena bersama-sama dengan segala usaha yang dilakukan kerajaan, bersatu hati dan berdoa," kata perdana menteri ketika ditemubual stesen televisyen AlHijrah hari ini.

“Mudah-mudahan Insya-Allah apa yang kita harapkan sesuatu pengetahuan yang boleh menutup isu ini sama sekali akan dapat kita kesan tidak berapa lama lagi," katanya dengan harapan seperti juga pencari dan penyelamaat, keluarga penumpang pesawat MH370 dan rakyat Malaysia amnya.

Sumber - Pelbagai