Amat jelas Firman Allah SWT di dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4 seperti di atas menuntut umat Islam mewujudkan keharmonian antara penganut agama sebagai jalan penyelesaian terhadap konflik yang berlaku antara penganut agama di seluruh dunia.
Islam menyeru kepada seluruh umat Islam sekalian agar mengeratkan silaturrahim sesama kita.Perjuangan bagi mempertahankan dan menegakkan agama Allah serta hak-hak eksklusif umat Islam merupakan perjuangan yang suci yang dijamin mendapat pertolongan serta bantuan daripada Allah SWT.
Oleh itu, sebagai umat Islam kita wajib menolak segala bentuk atau konsep tuhan yang lain daripada Allah SWT.
Berikutan itu, sangatlah tidak wajar pemimpin bukan Islam di negara ini memetik ayat-ayat al-Quran tertentu termasuk Khutbah Jumaat, yang kemudian dimanipulasi kononnya orang Islam menggalakkan permusuhan.
Mereka seharusnya mendengar keseluruhan kandungan khutbah Jumaat dan mengelak daripada menuduh Islam menggalakkan permusuhan dengan penganut agama lain.
Bagi Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA), Zamihan Mat Zin, sudah tiba masanya kerajaan menggubal undang-undang pencegahan ekstrem agama bagi membendung amalan beragama tidak sihat termasuk mencampuri agama lain.
Pada ketika pemimpin politik BUKAN ISLAM semakin bertindak berani mempertikaikan amalan agama termasuk teks khutbah Jumaat dan penggunaan kalimah Allah yang ternyata hanya untuk umat Islam, perbuatan seumpama itu tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan.
Zamihan bimbang banyak lagi perkara yang kemungkinan dibangkitkan pihak terbabit demi kepentingan politik mereka. Persoalannya bagaimana dengan mereka (bukan Islam) yang terang-terangan mempersenda dan memperlekehkan agama Islam
Bukan sekadar diperlekehkan oleh bukan Islam tetapi memburukkan keadaan, ada pula pemimpin Islam sendiri yang turut mempersendakan Islam umpamanya dalam isu Kalimah Allah.
Menyedari dan bimbang Islam semakin dipermainkan, Mimbar Jumaat Masjid Wilayah Persekutuan semalam bertajuk KEHARMONIAN ANTARA AGAMA (baca juga teks Khutbah Jumaat minggu lalu bertajuk MANHAJ ISLAMI DALAM PERPADUAN UMMAH) menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam agar sama-sama kita menjaga kesucian dan identiti agama dengan tidak bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang melibatkan dasar akidah dan tauhid disalahgunakan oleh agama lain.
Perbuatan itu amat merbahaya kerana matlamat utama mereka menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan kemudiannya mendakwa bahawa semua agama adalah sama.
Mimbar berkenaan berpesan: “Ingatlah bahawa semua gejala kerapuhan akidah ini sebenarnya akan menjatuhkan kemuliaan dan darjat umat Islam sendiri. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar.”
Berkaitan perkara lain mengenai usaha mempersenda dan memperlekehkan Islam, Khutbah Jumaat yang dibacakan di Masjid Wilayah Persekutuan hari ini menyebut: "...terdapat usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang sengaja kelihatan mahu menggugat keharmonian serta toleransi antara agama. Umat Islam hari ini diserang dan diancam dengan pelbagai isu akidah seperti ada yang mendakwa dirinya diangkat menjadi rasul, memiliki kerajaan yang memerintah dari langit, mendakwa dirinya sebagai Tuhan, solat sempurna boleh dengan niat sahaja, solat wajib untuk tiga (3) waktu sahaja.
Selain itu kita juga diancam dengan isu kalimah Allah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Dengan itu, mimbar yang mulia ini sekali lagi ingin menegaskan bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 telah membahaskan Isu Tuntutan Penggunaan Kalimah Allah oleh bukan Islam.
Muzakarah telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.
Oleh itu menjadi kewajipan bagi seluruh umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan dipelihara kesuciannya kerana ianya berkait rapat dengan akidah.
Sebagai umat Islam yang beriman kita perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.
Oleh itu, mimbar menyeru kepada sidang jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang melibatkan dasar akidah dan tauhid disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama mereka menggunakan kalimah Allah adalah untuk mengelirukan umat Islam dan kemudiannya mendakwa bahawa semua agama adalah sama.
Ingatlah bahawa semua gejala kerapuhan akidah ini sebenarnya akan menjatuhkan kemuliaan dan darjat umat Islam sendiri. Akibat yang lebih buruk ialah azab siksa yang pedih di akhirat yang menanti golongan yang ingkar.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 72:
Maksudnya: “Sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam. Padahal al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israil!. Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.”
Kelmarin, sebuah laman portal berita melaporkan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Darell Leiking mempersoalkan khutbah Jumaat yang disediakan JAKIM yang didakwanya boleh mencetuskan perbalahan antara agama di negara ini.
Nada sama disuarakan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang kesal khutbah Jumaat dilihatnya sebagai sengaja meniup sentimen persengketaan agama.
Semalam, khutbah yang dibaca di Masjid Wilayah, Jalan Duta dengan jelas antaranya menyebut:
1. Berdasarkan kepada Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan atau dimaksudkan juga sebagai Agama Negara. Bagaimanapun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Oleh itu, mimbar yang mulia ini ingin menyatakan bahawa agama Islam juga telah mengajar kita bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak-hak kemanusiaan merentasi bangsa, warna kulit dan agama. Pengajaran paling penting adalah kita dilarang berlaku tidak adil terhadap mana-mana pihak hanya disebabkan perbezaan agama dan budaya.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 13:
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”
2. Dalam Piagam Madinah telah termaktub bahawa sesiapa yang hidup dan tinggal di Wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, khianat dan huru hara, maka hendaklah mereka dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan maksudnya: “Sesiapa yang menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka dia telah menyakiti aku, dan sesiapa yang menyakiti aku, maka dia telah menyakiti Tuhan”.(Riwayat Abu Daud). Begitu juga dengan apa yang diriwayatkan daripada Jabir Abdullah RA katanya: “Satu jenazah lalu di hadapan kami (para sahabat), maka Rasulullah SAW berdiri. Lalu kami pun turut berdiri. Kami berkata kepada Rasulullah SAW “Ya Rasulallah, itu adalah jenazah yahudi”. Sabda Rasulullah SAW “apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah”.(Riwayat al-Bukhari) Hadith ini memberi isyarat bahawa Islam menggalakkan umatnya menghormati semua agama dan kaum, kerana Islam ini, menuntut kita supaya saling hormat menghormati dan bersikap lebih sopan santun serta berjiwa kemanusiaan sesama manusia yang lain. Menurut Ibnu Taimiyah di dalam kitabnya fatawa Ibn Taimiyah bahawa: “Kesejahteraan umat manusia tidak dapat diwujudkan di dunia maupun di akhirat, kecuali mereka bergabung menjadi sebuah masyarakat, bekerjasama dan saling tolong menolong untuk menciptakan kesejahteraan dan mencegah kesengsaraan.”
Khutbah Jumaat semalam, selanjutnya menyebut: Sebagai umat Islam kita dituntut bertoleransi di bawah norma dan etika hidup beragama. Namun perlu diingat, toleransi yang dimaksudkan bukanlah bererti kita mengakui doktrin keyakinan mereka kerana di dalam persoalan akidah, agama Islam tidak sama sekali berkompromi dengan kekufuran atau kesyirikan. Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam ialah kita tidak melampaui batas dalam perkara yang telah dipersetujui. Sikap melampaui batas sebenarnya akan menjadi pemangkin kepada kecelaruan minda dan perpecahan masyarakat dan seterusnya akan melemahkan kestabilan sosio-politik negara.
Berikutan itu, mimbar berkenaan berpesan kepada umat Islam supaya sentiasa bersikap terbuka dan saling hormat menghormati antara satu sama lain. Mimbar ingin juga menyeru kepada semua pihak agar usahlah mempertikaikan perkara yang telah termaktub di dalam perlembagaan dan dipersetujui bersama serta mempertikai hak-hak eksklusif orang Islam.
Mimbar juga menggesa pihak yang berkuasa agar menangani isu ini dengan penuh berhikmah agar mereka yang cuba memporak-perandakan pegangan dan akidah umat Islam akan menyedari dan insaf bahawa usaha-usaha mereka itu sebenarnya tidak akan membawa kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup dalam sebuah negara yang berdaulat.
Kita bertanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian dan sebab itulah kita perlu mencegah lebih awal anasir-anasir yang boleh menggugat keamanan serta menolak sebarang unsur yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum dan agama.
Ingatlah bahawa agama Islam sentiasa unggul dan ianya akan terus unggul. Al-islamu ya’lu wala yu’la ‘alaih. Marilah sama-sama kita meletakkan perhambaan kita kepada Allah SWT dalam segenap kehidupan dengan mengabdikan diri kita dengan sebenar-benarnya kepada Allah SWT dan menjaga akidah kita daripada terpesong jauh dari landasan yang digariskan oleh Allah SWT.
Sehubungan dengan ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 41:
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan jalan-jalan menetapkan i’tiqad dan tauhid dengan berbagai cara di dalam Al-Qur’an ini supaya mereka beringat (memahami dan mematuhi kebenaran); dalam pada itu, penerangan yang berbagai cara itu tidak menjadikan mereka melainkan bertambah liar.”
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, kelmarin memberi amaran, apa yang berlaku sekarang pihak tertentu cuba menilai kandungan khutbah dari sudut bertentangan dengan mesej yang cuba disampaikan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Nilai keseluruhan kandungan khutbah, bukan mengambil satu topik yang kemudian dimanipulasi untuk kepentingan politik.
Tindakan itu menggugat ketenteraman awam dalam negara majmuk seperti Malaysia,” katanya. Mohamad Shukri berkata, tindakan pihak yang tidak menghormati amalan beragama itu seharusnya dihentikan segera kerana dibimbangi menggugat keharmonian kaum yang wujud sejak sekian lama.
Kandungan teks khutbah Jumaat tidak terkeluar daripada topik peringatan kepada umat Islam termasuk mengamalkan ajaran agama serta menjauhi larangannya dan tiada ayat yang menggalakkan persengketaan dengan penganut agama lain.
“Jelas sekali khutbah menyampaikan mesej yang baik bukan saja kepada umat Islam, malah penganut agama lain… malangnya ada pihak tertentu yang melihat dari sudut pandangan negatif iaitu lain yang kita tegakkan, lain pula yang mereka nampak,” katanya.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, menjelaskan, asas paling penting untuk disampaikan dalam teks khutbah adalah umat Islam perlu bersatu padu dan hidup dalam keadaan harmoni.
Khutbah disediakan sebagai peringatan dan didikan khusus untuk umat Islam.
Dalam menyediakannya JAKIM merujuk nas al-Quran sebagai sumber, pegangan dan sandaran khutbah.
Amat jelas ia bukan mengajak ke arah permusuhan tetapi menuntut persefahaman dan saling mnghormati antara satu sama lain.