Thursday, September 5, 2013
MAAFKANLAH...BUKAN SALAH BESAR JIKA KIBAR SANG SAKA MALAYA?
Kibar Bendera Sang Saka Malaya sebagai perbuatan melawan kemungkaran dalam sistem pilihan raya dan menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia dan generasi muda?
Malah, seseorang melawan kerajaan bolehkah dianggap sebagai hero kerana memperjuangkan prinsip dan melawan kemungkaran kerajaan Barisan Nasional?
Juga kibar Sang Saka Malaysia sebagai kesalahan kecil yang boleh dimaafkan?
Setidak-tidaknya itulah pandangan Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bagi kumpulan ini, mana satukah bendera negara Malaysia yang berdaulat?
Bendera Sang Saka Malaya yang mirip kepada sebuah negara jiran itu atau Jalur Gemilang?
Ironinya ada individu tertentu yang bertindak mengibar bendera berkenaan hanya menunjuk berani di khalayak ramai tetapi mencuri-curi balik ke rumah.
Persoalannya, jika benar-benar berani dan berpendirian, kenapa Pengerusi bersama BERSIH Datuk A Samad Said menyelinap masuk ke rumah pada tengah malam kelmarin?
Berani buat berani tanggunglah… Berikutan itu polis terpaksa menahan A Samad yang menyelinap masuk ke rumah pada tengah malam kelmarin.
Ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendakwa polis pada awalnya mengunjungi rumah A Samad pada Selasa malam lalu namun sasterawan negara itu hanya pulang pada tengah malam dengan senyap-senyap.
Pasukan polis yang sedang menunggu pada masa itu menahan A Samad sebaik beliau pulang, kata Khalid dalam satu sidang media hari ini.
Katanya, polis sebelum itu telah meminta A Samad menyerah diri tetapi permintaan tersebut tidak dipenuhi.
Mengenai cadangan kerajaan menarik balik gelaran Sasterawan Negara daripada A Samad, PAS menyelar pihak yang mahu tindakan itu dilakukan.
Tuan Ibrahim berkata, tuntutan seperti itu tidak wajar kerana A Samad banyak berjasa dalam memartabatkan kesusasteraan Melayu walaupun "tidak mesra kerajaan".
"Ketokohan dan keberanian Pak Samad pada usianya yang lanjut untuk melawan kemungkaran dalam sistem pilihanraya melalui BERSIH telah menjadi inspirasi kepada rakyat Malaysia dan generasi muda.
"Di sanubari rakyat, Pak Samad bukan sahaja adalah Sasterawan Negara, malah kini terkenal sebagai hero kerana kekentalannya dalam memperjuangkan prinsipnya dan melawan kemungkaran kerajaan," kata Tuan Ibrahim.
Kenyataan itu timbul ketika polis menggiatkan siasatan ke atas A Samad, yang berucap dalam satu perhimpunan bersama individu yang mengibar bendera Sang Saka Malaya semasa sambutan ambang kemerdekaan Jumaat lalu.
Tuan Ibrahimmelihat bahawa tindakan kerajaan ke atas pengerusi bersama BERSIH itu sebagai satu usaha untuk mengalih perhatian isu kenaikan harga minyak.
"Tindakan kerajaan salah saja tangkap, salah sikit tangkap, benar-benar menjadikan Malaysia negara polis. Sedangkan dialog, perbincangan dan pelbagai medium boleh diguna bagi menjernihkan keadaan," katanya.
Beliau juga menggesa agar Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang mengulas mengenai tindakan tersebut, agar mengadakan dialog bersama Pak Samad dan tidak mencemuhnya di media.
Menyokong pandangan Tuan Ibrahim itu, ketua penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Yusapiza Yaacob menyifatkan desakan tersebut sebagai satu "ugutan, tidak bermoral dan zalim" terhadap A Samad yang menabur banyak jasa memartabat sastera negara
Sebelum ini kumpulan berhaluan kanan Melayu PERKASA menuntut agar tindakan tegas dikenakan ke atas individu yang menghina berndera Malaysia dan mengagung-agungkan bendera lain.
Ketua penerangannya Ruslan Kassim dalam satu laporan Utusan Malaysia berkata individu yang mengibar bendera Sang Saka Malaya itu tidak layak menjadi warganegara Malaysia kerana perbuatan itu didakwa menghina bangsa dan negara.
“Sebelum ini kita lihat satu demi satu kesilapan dan kesalahan yang dilakukan tanpa sebarang tindakan tegas diambil.
“Apabila tiada tindakan tegas, seolah-olah ia satu perbuatan yang betul dan akan menjadi idola kepada golongan muda yang tidak faham sejarah dan kenal erti sebuah perjuangan memerdekakan negara,” katanya seperti dipetik akhbar tersebut.
A Samad pula bagaikan mencabar sekiranya kerajaan memenuhi tuntutan kumpulan pendesak agar gelaran Sasterawan Negara yang diterimanya pada 1985 ditarik balik.
Tidak cukup dengan itu, tokoh sastera itu berkata beliau juga tidak kisah jika kewarganegaraannya juga dilucutkan.
"Soal tarik balik anugerah Sasterawan Negara itu sangat bapak alu-alukan. Teruskanlah. Malah kalau ingin tarik balik warga negara saya pun, saya alu-alukan,” katanya dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini.
Kenyataan itu timbul ketika polis menggiatkan siasatan ke atas beliau, yang berucap dalam satu perhimpunan bersama individu yang mengibar bendera Sang Saka Malaya semasa sambutan ambang kemerdekaan Jumaat lalu.