Kononnya mahasiswa. Tetapi amat jelas mereka masih tidak matang dan ‘berhingus’!
Kerana terpengaruh dan dipengaruhi, sanggup berbuat apa sahaja, malah mengalungkan bunga malai pada potret Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sewaktu mengadakan demonstrasi di ibu negara Sabtu lalu.
Setelah membuat kalungan bunga, kumpulan terbabit kemudiannya, berkhemah di Dataran Merdeka dan bertegas akan terus berada di kawasan tersebut sehingga pihak kerajaan memberi respons berhubung tuntutan memansuhkan pinjaman PTPTN.
Sewajarbnya sebagai mahasiswa yang telah menjalani proses pembelajaran di menara gading, mereka perlu mengelak sebarang tindakan yang berunsur provokasi dan 'bukan Islamik' untuk mencapai sesuatu matlamat.
Ini kerana tindakan oleh apa yang disebut sebagai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu akan memberi kesan negatif kepada masyarakat, sekali gus menunjukkan imej diri mereka yang tidak matang.
Seperti kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya, mereka mungkin tak faham hukum hakam agama, tetapi mereka tidaklah boleh menunjukkan perilaku yang tidak matang, dan menggunakan kaedah provokasi melampaui batas.
Kerana kritik-kritik ini, SMM terpaksa mempertahankan tindakan mereka. Kalau tidak mereka akan mengakui ‘kehingusan’ mereka!
Malah, Presidennya, Mohamad Safwan Anang menafikan tindakan tersebut seolah-olah mengkafirkan sesama Islam.
Hari ini Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Abu Bakar Abdullah meminta masyarakat mengelak menggunakan simbol kematian bukan Islam terhadap orang Islam.
“Jika simbol menepati kematian bukan Islam, hendaklah dielakkan supaya tidak timbul reaksi yang tidak sihat,” katanya bagi mengulas tindakan sekumpulan mahasiswa yang berdemonstrasi menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) beberapa hari lalu.
Abu Bakar bagaimanapun menggalakkan orang ramai melakukan sebarang luahan atau ketidakpuasan hati menepati kehendak syarak.
Abu Bakar ketika ditanya mengenai hukum sekiranya menggunakan simbol tersebut terhadap orang Islam bagaimanapun enggan mengulas, namun mengulangi supaya tindakan sama perlu dielakkan pada masa depan.
Mengulas lanjut, kata beliau, sekiranya ia tidak mencerminkan kepercayaan orang bukan Islam, tindakan tersebut tidak mendatangkan masalah.
Fathul Bari semalam menyifatkan perbuatan mengalungkan bunga malai pada potret Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi itu seolah-olah mengkafirkan sesama Islam.
Mereka sendiri pastinya tahu apa yang dilakukan itu adalah adat bagi agama Hindu apabila berlaku kematian membabitkan penganutnya.
“Sedangkan Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi itu orang Islam. Apa ertinya jika kita panggil orang beragama Islam dengan panggilan mendiang? Simbol pengkafiran boleh berlaku sama ada secara lisan ataupun dengan isyarat,” tegasnya.
Katanya, simbolik sedemikian sama sekali tidak boleh digunakan kerana ia melibatkan maruah agama.
Benar kata Fathul Bari, dalam memperjuangkan PTPTN, sewajar apa yang paling wajar dilakukan ialah mengingatkan orang yang berhutang supaya membayar hutang mereka.
“Wang yang dipinjam itu hutang kerana ia duit kerajaan, yang juga duit rakyat,” katanya.
Sewajarnya sebagai mahasiawa ‘yang berilmu’, SMM menggunakan kaedah berjumpa dan berbincang jika ada sesuatu perkara yang mereka mahu luahkan.
Ini kerana sebagai pelajar universiti, mereka harus buat keputusan dan bertindak dengan bijak.
Lagipun kita tidak tahu apakah semua mereka masih pelajar di universiti atau mereka yang sudah dibuang atau gagal dalam pengajian mereka.
Lebih lama lagi mereka berdemonstrasi lagi mudah untuk mengesan mereka siapa sebenarnya!