Saturday, March 10, 2012

PAS SUDAH HALAKAN 'MERIAM' UNTUK BEDIL PKR

 “Kita minta dia (PKR) ukur baju di badan sendiri. Dengan suasana yang ada hari ini, mereka tidak patut bercakap sebebasnya, lebih-lebih lagi perlu mengambil kira pandangan Pas yang menjadi tunggak parti pembangkang di negeri ini...”  - Azman Shapawi.

Semakin terserlah sudah PKR dan PAS yang berusaha ‘tidur sebantal’ tetap gagal dan masing-masing juga terus bermimpi lain-lain.

Malah masing-masing juga kini saling tuduh menuduh bahawa di kalangan mereka ada yang mahu ‘makan banyak sedangkankan benda yang diidamkan itu tidak boleh dimakan’.

 PAS melihat PKR bernafsu besar sementara PAS pula dilihat ‘terlalu tamak’ dan mahu memegang kuasa ‘bersendirian’.
 
Kalau di Kedah, PAS sama PAS ‘bertembung’ sesama sendiri dan sehingga kini ‘kemelut politik’ PAS Kuala Kedah yang membawa krisis kepada pentadbiran negeri belum selesai-selesai. Penstrukturan semula barisan Exco dan jawatan yang akan diagihkan akan menyebabkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak akan pening sekali lagi

Malah Jawatankuasa Pemandu yang akan ditubuhkan pun dipersoalkan oleh banyak pihak termasuk sekutu pakatan pembangkang iaitu PKR dan DAP yang melihat seolah-olah PAS Pusat mahu mendominasi pentadbiran negeri. Apa yang berlaku di Kedah itu tidak mungkin reda hinggalah pilihan raya umum ke 13 nanti.


Di Terengganu pula, PAS dan PKR kini mula ‘menyinsing lengan’ gara-gara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang mahu ditandingi mereka. PAS sudah menghalakan ‘meriamnya’ kepada PKR berkaitan siapa wajar bertanding di kerusi mana?

Pesuruhjaya PAS Terengganu menganggap pengumuman PKR untuk bertanding di 11 kerusi DUN dan 3 kerusi Parlimen sebagai ‘terlalu awal’ pada ketika proses perundingan belum selesai. Terengganu mempunyai 32 DUN (UMNO dan MCA menguasai 24 kerusi) dan 8 Kerusi Parlimen (6 BN dan 2 PAS).

Wajah PKR yang tamak dan tidak menghiraukan perasaan komponen lain sewajarnya menyedarkan penyokong PAS bahawa inilah wajah sebenar PKR. Dengan parti seperti ini pun PAS terus mahu bekerjasama

Sementara PAS yang juga ‘tamak’ dan bercita-cita tinggi menawan semula Terengganu berkeyakinan penuh dan meremehkan PKR apabila menyuarakan suara sumbangnya apabila mengatakan PKR perlu ‘mengukur baju di badan sendiri’.

 Apakah maknanya ini?

Jawapannya, jika belum menang atau memerintah lagi pakatan pembangkang sudah tidak sepakat, selepas pilihan raya, jika mereka menang, kerajaan yang dibentuk tidak akan stabil dan kelak akan menyusahkan rakyat.

Pandangan PAS terhadap kemampuan PKR begitu rendah sehinggakan hasratnya untuk hanya bertanding di 11 kerusi DUN dan 3 Parlimen sahaja diselar dan dikecam termasuk oleh Timbalan Ketua Penerangan Pas Terengganu, Azman Shapawi (gambar kanan) yang meminta parti itu "mengukur baju di badan sendiri."

PKR diminta sedar dengan suasana dan perkembangan politik semasa yang dikuatiri boleh menjejaskan usaha pembangkang menawan Terengganu.

“Kita minta dia (PKR) ukur baju di badan sendiri. Dengan suasana yang ada hari ini, mereka tidak patut bercakap sebebasnya, lebih-lebih lagi perlu mengambil kira pandangan Pas yang menjadi tunggak parti pembangkang di negeri ini,” kata Azman.

Malah, Azman Shapawi dalam nada sinis berkata, jika parti itu mengikut apa yang diidamkan, sudah tentu mereka mahu ‘makan banyak walaupun benda yang diidamkan itu tidak boleh dimakan’.

“Kalau tanya kita mahu idam berapa kerusi, sudah tentu kita mahukan 32 kerusi DUN tetapi dalam budaya persahabatan kita tidak boleh berlaku begitu dan perlu mengambil kira semua keadaan. Kita harap PKR mengambil kira juga perkara itu,” katanya.

Kenyataan PKR itu dianggap membelakangkan kedudukan PAS yang begitu ‘kuat’ di Terengganu dan sewajarnya dalam perkara seperti ini PAS perlu dirujuk terlebih dahulu sebagai rakan pakatan dan yang lebih berpengalaman di negeri ini.

Malah, pemimpin PAS di Terengganu menyatakan terang-terangan mereka terkilan dengan pendedahan PKR berkata, parti itu perlu memikirkan banyak perkara sebelum mendedahkan hasrat mereka kerana ia mungkin menimbulkan tanggapan kurang selesa terutama di kalangan petugas-petugas parti.

'MOOD' RAKYAT SOKONG PERDANA MENTERI TERUS MENINGKAT

“Angka ini hasil usaha (kerajaan) memperbaiki 'mood' rakyat berhubung keadaan ekonomi secara umum dan pengagihan dana Bantuan Rakyat 1Malaysia untuk mengatasi beban ekonomi keluarga miskin...Peningkatan kembali populariti adalah ekoran inisiatif-inisiatif mesra rakyat dan langkah mahu memperbaiki amalan demokrasi, antara memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti dan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Pilihan Raya….” – Merdeka Centre

Rating sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meningkat ke 69 peratus dari 59 peratus pada Ogos 2011, demikian menurut Merdeka Centre for Opinion Research.

Pusat tinjauan pendapat itu berkata, ini disebabkan mood orang ramai yang lebih senang dengan keadaan ekonomi umum dan pengagihan dana bagi meringankan beban ekonomi keluarga berpendapatan rendah.

Hasil tinjauan juga menunjukkan sebanyak satu pertiga daripada responden yang mirip kepada Pakatan Rakyat, selaku pembangkang, melahirkan rasa puas hati dengan perdana menteri.

Pusat itu berkata tinjauannya mendapati antara 10 dan 23 Feb, sokongan terhadap perdana menteri paling tinggi, pada 78 peratus, di kalangan keluarga dengan pendapatan di bawah RM1,500 sebulan, dengan responden India pada 80 peratus dan responden Melayu 74 peratus.

Populariti Najib, hasil kajian berkala Merdeka Center, telah menurun ke paras 59 peratus pada Ogos lalu selepas mencatat paras paling tinggi iaitu 72 peratus pada Mei 2010.

Kajian Ogos lalu dikendalikan kira-kira sebulan selepas Perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara. Bagaimanapun, sejak itu Najib mengumumkan beberapa pembaharuan sosiopolitik. Populariti 69 peratus kali ini sama dengan paras yang direkodkan pada Mac 2010 iaitu 14 bulan selepas menjadi Perdana Menteri.

Pada Mei 2009, lebih sebulan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri yang keenam, populariti Najib adalah sekitar 45 peratus.

"Angka ini hasil usaha (kerajaan) memperbaiki 'mood' rakyat berhubung keadaan ekonomi secara umum dan pengagihan dana Bantuan Rakyat 1Malaysia untuk mengatasi beban ekonomi keluarga miskin," kata Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian dalam satu kenyataan.

Menurut Ibrahim, sokongan ke atas kepimpinan Najib sangat tinggi di kalangan isi rumah berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan iaitu sekitar 78 peratus.

Seramai 80 peratus masyarakat India dan 74 peratus kaum Melayu dalam kumpulan pendapatan itu memberi sokongan positif ke atas kepimpinan Najib, yang juga Menteri Kewangan dan Presiden Umno. Najib juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Kajian terbaru Merdeka Center kali ini juga menunjukkan bahawa rasa puas hati sangat tinggi di kalangan responden yang berusia 50 tahun dan ke atas. Seramai 73 peratus responden berusia 50 tahun dan ke atas berpuas hati dengan pendekatan Najib berbanding hanya 64 peratus di kalangan mereka berusia 21 hingga 30 tahun.

 "Hasil kajian juga menunjukkan bahawa sehingga satu pertiga responden yang condong ke arah Pakatan Rakyat dilihat berpuas hati dengan Perdana Menteri - yang menunjukkan bahawa sokongan sedemikian tidak semestinya akan diterjemahkan dalam bentuk undi kepada parti pemerintah (Barisan Nasional)," kata beliau lagi.

Dalam ulasannya juga, Ibrahim berkata, pihaknya berpendapat bahawa peningkatan kembali populariti adalah ekoran inisiatif-inisiatif mesra rakyat dan langkah mahu memperbaiki amalan demokrasi, antara memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti dan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Pilihan Raya.

Meskipun kadar puas hati ke atas Perdana Menteri tinggi, kata Ibrahim, kajian yang sama menunjukkan bahawa pengundi masa was-was dengan kerajaan persekutuan.

"Hanya 48 peratus responden berkata mereka gembira dengan kerajaan," kata beliau. "Kajian juga menunjukkan bahawa pandangan positif terhadap kerajaan sangat tinggi di kalangan pengundi berusia tetapi rendah di kalangan pengundi muda, dengan hanya 39 peratus pengundi di bawah 30 tahun gembira dengan kerajaan berbanding 54 peratus di kalangan mereka berusia 60 tahun dan ke atas," katanya.