Sunday, January 16, 2011

APABILA ISLAM MUDAH DIPERLEKH & DILIHAT MENDATANGKAN MASALAH…

''Perbuatan biadab ini perlu dihentikan segera sebelum ia menjadi lebih parah dan tidak terkawal. Kedudukan Islam dan segala institusinya bukan sahaja dijamin oleh Perlembagaan negara malah diletakkan di tahap tinggi dan dimuliakan dengan peruntukan khusus yang tidak diberi kepada agama lain,”

Isunya kenapa orang bukan Islam kini sewenang-wenangnya mempersoalkan Islam dari segi amalan dan praktiknya di negara ini?

Sedangkan Islam diterima semua pihak sebagai agama rasmi persekutuan tetapi kini terdapat “musuh politik” yang cuba mengganggu-gugat perkara yang disepakati bersama.

Menghairankan ialah ‘musuh politik’ ini bukan sahaja daripada pembangkang tetapi daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri.

Saya fikir amaran yang dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kepada pihak-pihak yang cuba mempolitikkan isu-isu agama supaya segera menghentikannya dan menilai kesan perbuatan mereka, bukan satu bentuk amaran yang sebenarnya – sekadar peringatan.

Kata Menteri berkenaan: "Jangan sentuh soal ibadat orang Islam. Saya ingin mengingatkan pihak terbabit tidak menggunakan parti-parti politik untuk menguji orang Islam dengan isu agama demi kepentingan politik mereka."

Kini kita sudah muak dan jemu dengan amaran-amaran sebelum ini kerana ‘provokasi yang tinggi akan menimbulkan sentimen dan kemarahan orang Islam’ tetapi tidak ada langsung usaha menghentikannya.

Benarlah apa yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin apabila menyifatkan tindakan pihak yang mempertikai laungan azan umpama mengisytiharkan perang secara terbuka terhadap Islam. Tindakan itu juga membawa makna mereka turut mempertikai Islam dan ia satu perbuatan yang tidak boleh diterima oleh umat Islam.

Sedangkan menurut Zulkifli, azan merupakan salah satu aspek dalam ibadah umat Islam yang sudah wujud sejak pembentukan negara Islam di Madinah pada zaman Rasulullah.

''Perbuatan biadab ini perlu dihentikan segera sebelum ia menjadi lebih parah dan tidak terkawal. Kedudukan Islam dan segala institusinya bukan sahaja dijamin oleh Perlembagaan negara malah diletakkan di tahap tinggi dan dimuliakan dengan peruntukan khusus yang tidak diberi kepada agama lain,” katanya.

Amat jelas, dalam keadaan Islam ‘diserang’, orang Islam akan bangkit mempertahankan agama mereka biarpun ada amaran pihak kerajaan supaya jangan bertindak balas atau desakan agar tidak ‘memperbesar-besarkannya’.

Kejadian-kejadian akhir-akhir ini dengan sendiri pastinya mengusik hati orang Islam seperti:

1. Peguam bukan Islam mempersoalkan azan dari Masjid Al-Ikhlasiah, Bukit Kerinchi, Jalan Pantai Permai, Kuala Lumpur yang didakwa mengganggu tidurnya; Memorandum itu antara lain meminta pihak pengurusan masjid berkenaan memperlahankan laungan azan yang didakwa mengganggu tidurnya setiap Subuh sekali gus membangkitkan kemarahan umat Islam;

2. Arahan anggota Exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu yang mengarahkan
Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menarik balik larangan tidak membenarkan
umat Islam bekerja di premis menjual arak;

3. Tindakan Anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang berpakaian ketat mengadakan aktiviti senaman di pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, baru-baru ini; dan

4. Tindakan beberapa pemimpin pembangkang bukan Islam memasuki masjid dan berceramah di dalamnya seperti yang berlaku di negeri-negeri yang diperintah pembangkang.

Tidakkah kesemua perbuatan ini dianggap oleh orang Melayu dan Islam sebagai ‘menghiris hati’ dan menghina Islam?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata isu azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi tidak sepatutnya diperbesarkan dan boleh diselesaikan dengan baik. "Isu seperti ini pernah berlaku beberapa kali dahulu tetapi dapat diselesaikan dengan cepat tanpa campur tangan pihak luar," katanya kelmarin.

Pengerusi Majlis Gabungan Ayahanda-Ayahanda Wilayah Persekutuan, Zakaria Awang berkata, perasaan penduduk sekitar Lembah Pantai dan NGO Islam amat terhiris dengan tindakan pengadu menghantar memorandum kepada Perdana Menteri berhubung perkara itu.

Katanya, azan merupakan sebahagian daripada aspek ibadah umat Islam sejak berkurun lamanya dan ia tidak pernah dipersoalkan termasuk oleh penjajah. Beliau hairan dengan sikap peguam itu yang sepatutnya mahir mengenai Perlembagaan Persekutuan dan mengetahui bahawa Islam adalah agama rasmi negara.

Berikutan penghantaran memorandum oleh peguam itu, kariah Masjid Al-Ikhlasiah terpaksa memperlahankan laungan azan sejak dua minggu lalu. “Kita minta beliau memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini khususnya penduduk di Lembah Pantai," katanya.

Berikutan itu, kelmarin lebih 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah sebagai membantah tindakan seorang peguam bukan Islam menghantar memorandum berkaitan azan kepada Perdana Menteri, pada Disember lepas.

Mereka yang mewakili persatuan penduduk sekitar Kampung Kerinchi dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mula berhimpun secara aman di pekarangan masjid selepas solat Jumaat pada pukul 2 petang.

Kumpulan itu membawa kain rentang dan sepanduk yang tertera tulisan 'Laungan Azan, Laungan Keramat', 'Jangan Main Api' dan 'Islam Agama Kami' serta melaungkan takbir.

NGO yang terlibat antaranya Majlis Gabungan Ayahanda-Ayahanda; Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). Tiada insiden yang tidak diingini berlaku pada perhimpunan yang berakhir pada pukul 2.30 petang itu.

Mengenai kes azan ini, Jamil Khir menegaskan: "Kita membuat kajian dan pantau apa sebenarnya berlaku. Adakah pembesar suara di pasang 24 jam. Ia hanya dipasang apabila masuk waktu (solat).

Dalam isu pakaian ketat dalam masjid, Jamil Khir kecewa dengan tindakan anggota Parlimen PAS, Dr Lo'lo Ghazali menggunakan perkataan 'mandom' terhadap pegawai-pegawai Jakim dan Jabatan Agama dalam blognya mempertahankan Nie Ching dalam kes berpakaian ketat."Saya nak tegur supaya cermat guna bahasa kerana perkataan supaya orang seperti kita (Anggota Parlimen) dihormati."

Mengenai pekerja Islam di kilang arak, Jamil Khir menegaskan bahawa Ronnie menghina Islam apabila melarang penguatkuasaan Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang bertujuan untuk mempertahankan moral umat Islam.

Tegas beliau lagi, tindakan berkenaan bertujuan mahu melihat moral umat Islam rosak.
"Perkara itu termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor. Ronnie tidak boleh sentuh. Kita berusaha mempertahankan moral dan akhlak orang Islam tetapi yang berlaku ada pihak mahu umat Islam melakukan sebaliknya," katanya .

Beliau menyatakan demikian menjawab kenyataan dua Exco kerajaan negeri daripada DAP iaitu Teresa Kok dan Ronnie Liu yang dilaporkan meminta Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menarik balik peraturan melarang orang Islam bekerja di premis yang menyajikan arak.

Larangan itu didedahkan oleh sebuah portal berita kelmarin yang memetik kenyataan Pegawai Perhubungan Awam MPSJ, Azfarizal Abd. Rashid iaitu premis perniagaan yang gagal mematuhi peraturan tersebut boleh dikenakan kompaun atau lesen ditarik balik.

Ronnie yang merupakan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilaporkan mengesahkan pekeliling telah dikeluarkan kepada Yang Dipertua MPSJ, Datuk Md. Adnan Ikhsan untuk menarik balik larangan itu kerana mendakwa ia tidak disedari oleh kerajaan negeri.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali mengulas pekeliling itu berkata tindakan MPSJ yang melarang orang Islam bekerja di premis menjual minuman keras bertujuan mengekang kegiatan maksiat dalam kalangan umat Islam.

Hassan menganggap larangan itu bertepatan dengan peruntukan di bawah Seksyen 18 (2) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang tidak membenarkan orang Islam melibatkan diri dalam urusan penjualan minuman keras.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor menambah, syarat serupa bagi urusan pemberian lesen kepada penjual minuman keras terdapat di dalam undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

Menurut Hasan, mana-mana pihak tidak seharusnya bimbang dengan larangan tersebut kerana ia khusus bagi umat Islam. Peraturan itu juga telah melalui tiga proses perbincangan di peringkat jawatankuasa dan telah mendapat pengesahan dan kelulusan daripada semua pihak termasuk ahli majlis bukan Islam. ''Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada kepimpinan MPSJ yang telah menguatkuasakan peraturan ini," katanya.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan semalam menyokong pandangan Dr Hasan yang mahukan MPSJ menguatkasakan larangan umat Islam bekerja di premis menjual arak. Naib ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, sebelum ini, MPSJ telah menguatkuasakan larangan umat Islam bekerja di tempat menjual minuman keras namun arahan itu telah ditarik balik oleh Ronnie.

Harapan ialah PAS bukan sekadar menegur pemimpin rakan pembangkangnya dalam isu spesifik seperti arahan pekerja pada premis menjual arak seperti ini tetapi turut mendisiplinkan mereka agar jangan menyentuh sensitiviti orang Islam.

Walaupun PAS meletakkan kepentingan ‘mendapatkan kuasa’ sebagai sesuatu yang mutlak tetapi dengan menggadaikan Islam demi kepentingan politik, yang ruginya umat Islam seluruhnya.

Yang pasti jika dalam PAS sendiri ada pandangan berbeza umpamanya dalam konteks membenarkan bukan Islam berceramah dalam masjid, ini membuktikan bahawa parti itu sebenarnya perlu menilai dari masa ke masa kerjasama mereka dengan parti-parti seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat, bukannya sepanjang masa memekakkan telinga dan buat-buat tidak nampak mengenai ‘pencemaran masjid’ dan kesucian Islam.

Persoalannya bersediakan PAS menerima ‘balasan’ apabila orang Islam melihat Islam yang ada padanya hanya pada nama parti semata-mata?

Daripada angan-angan dapat berkuasa dan diberikan kuasa, akhirnya PAS dihukum kerana perbuatannya sendiri yang ‘membenarkan segala-galanya’ biarpun Islam tercemar dan bukan Islam sewenang-wenangnya mempersoal dan memperlekehkan Islam.

Ahmad Said Dijangka Umum Saf Kepimpinan UMNO Terengganu Esok

Pada satu majlis santai wartawan daripada media cetak dan elektronik sekitar Kuala Terengganu dengan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Rabu (13 Jan 2011) lalu, antara soalan dikemukakan ialah bilakah saf kepimpinan UMNO Terengganu akan diumumkan?

Pertanyaan itu timbul berikutan pemilihan Menteri Besar , Datuk Seri Ahmad Said sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO menggantikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkuatkuasa 1 Januari 2011 lalu.

Hishamuddin yang menjadi Pengerusi hampir setahun lapan bulan iaitu bermula pada 24 April 2009 melantik Tengku Putera sebagai Setiausaha, Datuk Rahin Mohd.Said (Bendahari) dan Datuk Ahmad Shabery Cheek sebagai Ketua Penerangan.

Pasukan Ahmad Said ketika mula mengambil alih jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu daripada Datuk Seri Idris Jusoh pada 2008.

Sehingga ini Ahmad Said membisu seribu bahasa. Dia mengunci kemas mulutnya daripada menyebut sebarang nama atau barisan yang bakal menganggotai jawatankuasa perhubungan UMNO yang baru.

Malah, pada dua majlis bersama veteran UMNO Terengganu pada Khamis lalu, iaitu di Dungun dan Kemaman, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu itu tidak pun memberikan isyarat siapa akan dilantik.

Ada pihak mengatakan kelambatan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, mengumumkannya kerana ‘ada masalah’ memilih Ketua Penerangan dan Bendahari.

Ada pula yang mengatakan beberapa pihak cuba melobi Ahmad Said untuk mendapatkan jawatan Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu menggantikan Tengku Putera.

Jawapan yang diberikan oleh Tengku Puteri pada majlis minum petang Bicara Bersama Media, anjuran Unit Komunikasi Negeri (UKOM) di sebuah hotel di Kuala Terengganu ialah semua Ketua UMNO bahagian di negeri itu memberi mandat kepada kepimpinan parti untuk memilih saf kepimpinan UMNO Terengganu yang baru.

“UMNO Terengganu yakin Menteri Besar akan mendapat kerjasama penuh daripada semua ketua bahagian dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam usaha memantapkan lagi parti.

“Selepas ini, kita (UMNO Terengganu) akan memperkemaskan lagi jentera parti dan melakukan gerak kerja bagi menambah sokongan pengundi kepada parti,” tambahnya.
Tengku Putera berkata, UMNO Terengganu makin bertenaga dalam melaksanakan gerak kerja, berikutan pelantikan Menteri Besar sebagi teraju utama parti.

Saya melihat Ahmad Said cuba membentuk satu barisan yang mantap dan bertenaga ‘sekembali semula beliau’ memimpin UMNO Terengganu.

Berikutan itu, Menteri Besar itu cuba mengenal pasti calon terbaik dan tidak mahu dilabelkan sebagai kemimpinan lemah dan kurang bertenaga.

Perkara lain pastinya beliau mahu supaya nama yang akan diajukan kepada Perdana Menteri dirahsiakan dahulu dan adalah baik mendapat persetujuan barulah diumumkan.
Namun, seperti biasa ada pihak yang melobi pelbagai cara untuk dilantik ke dalam saf ini.

Tengah hari esok dikatakan ada majlis yang dijangka akan berlangsung di sebuah hotel di Putrajaya yang sudah pasti akan dihadiri oleh Ketua-Ketua UMNO Bahagian, termasuklah Ketua Umno bahagian Marang, YB Yahya Khatib Mohamad yang telahpun dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.

Menurut sebuah blog di Terengganu, amat sukar kali ini untuk diramalkan siapa pula akan dilantik. Namun begitu beberapa nama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak berjawatan utama di bahagian disebut-sebut.

Sebenarnya jawatan-jawatan itu bukanlah ‘mahkota’ tetapi suatu amanah yang perlu dipikul dengan komited dan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada parti dan kepimpinan.

“Setia” dan “Usaha” adalah suatu jawatan yang akan menjadi nadi penggerak penting, sebab itu dalam institusi kerajaan Pejabat Setiausaha Kerajaan adalah nadi segalanya.

Malah jika Ahmad Said mahu memantapkan pentadbiran parti, Setiausahanya perlulah seseorang yang kuat bekerja dan proaktif setiap masa, bukan berharap kepada kesetiaan semata-mata.

Bendahari pula bukan sahaja mampu mencri sumber, menyimpan wang dan membelanjakannya secara berhemah, tetapi mestilah seorang yang mampu bersama-sama memastikan ‘tabung’ Umno Terengganu mampu menampung pentadbiran dan operasinya, lebih-lebih lagi menjelang Pilihanraya Umno, PRU 13.

Manakala Penerangan adalah nadi penting dalam sesebuah organiasi parti, jika lumpuh di peringkat ini, maka parti akan dilihat dan dikatakan lumpuh; sedangkan di pihak lawan operasi penerangan begitu hebat sekali.

“Kita tidak boleh ketinggalan dan tidur di masa pihak pembangkang menyerang kita dengan hebatnya,” kata orang-orang Umno yang bersemangat tinggi untuk melihat Umno Terengganu cemerlang.

Mereka berharap dengan kehadiran Ahmad Said selaku Pengerusi Umno dan Menteri Besar dan barisan kepimpinan dan pegawai parti yang bakal dilantik, mampu menggerak dan meneruskan kembali pemerkasaan kegiatan penerangan, turun padang menemui rakyat dan ahli-ahli serta penyokong, selain memperkukuhkan Umno.

Hanya melaluinya impian PAS untuk menggantikan UMNO menjadi angan-angan kosong dan mimpi di siang hari yang berterusan.

Jika pada 2004 dan 2008 Datuk Idris Jusoh berjaya melakukannya, pada pilihan raya umum akan datang, Ahmad Said pula yang akan memimpin UMNO mencipta kejayaannya!