Saturday, October 29, 2011

MTUC TIDAK WAJAR BERI AMARAN, UGUT PERDANA MENTERI

Ternyata kini Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bermain politik apabila mula mengugut kerajaan dengan mengatakan ia akan ‘menjadi penentu dalam arah aliran sokongan ketika pilihan raya umum ke 13 nanti’.

Adalah tidak wajar kenyataan itu dibuat pada ketika MTUC dan kerajaan masih boleh berunding mengenai pindaan Akta Kerja 1955 yang menjadi kontroversi sekarang.

MTUC mahu pindaan itu ditarik balik kerana ia membabitkan 5.7 juta pekerja.

Adalah perbuatan yang ‘kurang ajar’ tindakan MTUC itu lebih-lebih lagi ketika masih ada ruang untuk berunding.

Tindakan memberi amaran keras kepada Perdana Menteri semalam menggambarkan betapa MTUC kini bermain politik dan memang berpihak kepada pembangkang dan isyarat yang diberikan itu bagaikan meniup gendang perang pada ketika jalan penyelesaian masih terbuka luas.

MTUC boleh menegaskan kekecewaan mereka dengan tindakan kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia yang bertegas dengan pendirian membawa Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat awal bulan ini.

Walaupun sudah diluluskan di Dewan Rakyat minggu pertama bulan ini tetapi sementara menunggu giliran perbahasan Dewan Negara, banyak perkara boleh dibincangkan.

Sebaliknya Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor pada sidang media di Subang Jaya semalam member amaran keras kepada Perdana Menteri sambil membuat ugutan.

Tegas Abdul Halim : “Kami minta perdana menteri mendengar permintaan kami, suara kami bagi pihak 5.7 juta pengundi (pekerja). Ada 5.7 juta pekerja yang berdaftar.Ini isyarat kami kepada beliau.”

Apa erti pelawaan atau ajakan jika membuat ugutan?

Abdul Halim mendakwa badan induk kesatuan sekerja yang dianggotai 390 gabungan mewakili 802,323 ahli telah merancang untuk mengadakan piket peringkat nasional pada 3 November ini.

MTUC mengesahkan bahawa piket itu, yang kedua selepas tindakan di kawasan bangunan Parlimen pada 3 Oktober lalu, akan diadakan 20 lokasi di seluruh negara.

MTUC mendakwa Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu akan memberi laluan mudah kepara pelabur dan majikan mengambil rakyat Malaysia sebagai pekerja yang dikenali sebagai "Kontraktor Untuk Buruh' berbanding tenaga kerja kekal (untuk memahami isu Kontraktor Untuk Buruh ini sila baca di sini).

Kesatuan itu dikatakan sudah menghantar surat kepada Najib dan timbalannya minggu lepas berhubung permohonan mereka mendesak pertimbangan semula pindaan berkenaan Akta Kerja, namun sehingga kini belum mendapat respons.

“Sekiranya masih lagi tiada jawapan, kemungkinan besar kami akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu ini,” sambil berkata MTUC lebih rela menyelesaikan kemelut ini secara domestik berbanding melibatkan pihak luar.

Namun begitu, sekiranya ia menemui jalan buntu, pihaknya akan membawa isu ini ke Persidangan Serantau Pertubuhan Tenaga Buruh Antarabangsa di Kyoto, Jepun pada 4 Disember ini.

Difahamkan, sebanyak 107 pertubuhan bukan kerajaan dalam dan luar negara menyokong pendirian MTUC, memprotes pindaan Akta Kerja 1955, yang membolehkan kontraktor tenaga kerja dianggap sebagai majikan yang sahih.

No comments:

Post a Comment