Saturday, October 16, 2010

BAJET 2011 MENDAKAP SEMANGAT, REALITI PENTADBIRAN TERKINI

Beberapa hari sebelum Bajet 2011 dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak, spekulasi mulai timbul kononnya ia akan menjadi 'bajet pilihan raya'.

Penangguhan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) buat kali kedua Rabu lepas menguatkan lagi spekulasi itu, pada ketika penganalisis mencari lebih banyak petunjuk, seperti kemungkinan pengurangan cukai pendapatan, peningkatan cukai beberapa barang dan bonus buat petugas kerajaan.

Yang nyata, sehari sebelum Bajet 2011 dibentangkan, Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim beranggapan kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai tanda awal Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.

“Ada kemungkinan kita akan saksikan Pilihan Raya Umum (PRU) yang mengejut dan saya jangkakan pembentangan bajet esok (jumaat) adalah bajet pilihan raya," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen kelmarin (Khamis).


Menurutnya, beliau percaya kerajaan 'takut' kerana tidak mampu menangani asakan oleh Pakatan Rakyat yang berpendapat cukai baru itu akan membebankan rakyat, khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam menyifatkan pembentangan Bajet 2011 hanya berpihak kepada negeri-negeri di bawah naungan Umno-BN. Berikutan itu, beliau yang juga setiausaha agung DAP akan mengemukkan rayuan kepada kerajaan persekutuan untuk memberi perhatian kepada negeri-negeri di bawah naugan Pakatan Rakyat dalam tempoh terdekat.

Katanya, pembentangan bajet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya ilusi untuk memerangkap perhatian rakyat dengan imbuhan.

Bagi ahli parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa pula, bajet yang dibentangkan Najib itu memerlukan semua pihak bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

"Apa yang dibentangkan ini mungkin tanda pilihan raya akan diadakan lebih awal daripada yang dijangka. "Namun demikian kita menghargai juga insentif-insentif yang diberikan sebagai gula-gula kepada sama ada kepada komuniti perniagaan atau rakyat biasa, contohnya hal yang berkaitan dengan perbankan Islam dan sebagainya dan juga industri yang ingin diperkembangkan dalam negara kita," katanya yang juga timbalan presiden PAS.

Ahli parlimen Kubang Kerian yang juga naib presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, secara retoriknya bajet yang dibentang, menyediakan segala insentif kepada rakyat tetapi sebenarnya satu perangkap yang akan membebankan rakyat.

"Bajet ini menunjukkan pilihan raya semakin dekat, mungkin tahun hadapan. Walau bagaimanapun golongan sasar masih lagi tidak tercapai maksud. Mereka tidak mahu menara PNB yang tinggi tapi mahu beban hidup diringankan.”

Ahli parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail juga senada dengan ahli parlimen yang lain bahawa ia merupakan gula-gula pilihan raya. "Satu petunjuk yang sangat jelas bahawa pilihan raya sangat dekat. Pertama GST tak jadi dibuat, tol tak dinaikkan, menaikkan elaun kepada pemimpin komuniti yang saya anggap isyarat yang paling jelas kerajaan akan menggubal Parlimen pada bila-bila masa," katanya yang juga setiausaha agung PKR.

Sebaliknya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Bajet 2011 sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap semua lapisan masyarakat, sekali gus mampu meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

Sambil menegaskan ia bukan bajet pilihan raya, Timbalan Perdana Menteri berkata, Bajet 2011 itu juga merupakan satu lonjakan ke arah mentransformasi Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Beliau berkata, Bajet 2011 itu turut melakar harapan baru bagi rakyat apabila pelaksanaannya kali ini mengambil kira input serta cadangan daripada mereka. ''Saya yakin semua pihak yang mendengar bajet kali ini akan berpuas hati kerana seperti mana yang disebut oleh Perdana Menteri, Bajet 2011 adalah bajet rakyat hasil maklum balas yang diterima oleh kerajaan daripada rakyat," katanya.

Dan semalam, apabila bajet dibentangkan dengan beberapa potongan cukai, ramai mulai percaya ia jauh menyimpang daripada terma bajet pilihan raya, kerana keseluruhan bajet dilihat bergerak ke arah menambah pendapatan bagi golongan berpendapatan rendah, kebanyakannya di bawah pendapatan RM3,000, di samping menambah baik sistem penyampaian kerajaan selaras dengan hasrat menjadikan negara sebagai sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.

"Jika anda tanya sekiranya ini adalah bajet pilihan raya atau tidak, saya akan katakan tidak. Agenda-agenda penting sebuah bajet pilihan raya tidak kelihatan di sini," kata ahli ekonomi yang juga bekas Menteri Sumber Manusia Tan Sri Dr Fong Chan Onn (gambar kiri).

Fong, Bekas dekan Fakulti Ekonomi Universiti Malaya berkata, bajet itu dilihat bergerak ke arah membaiki sistem penyampaian kerajaan dalam usaha menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

"Jika anda lihat dengan teliti, peningkatan dalam cukai perkhidmatan daripada lima kepada enam peratus, bertujuan untuk bersiap sedia untuk pelaksanaan GST, mungkin pada empat peratus tidak lama lagi. Jadi penangguhan Rang Undang-undang GST kononnya petanda bahawa pilihan raya semakin hampir, adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Bagaimanapun di pihak pembangkang, mereka tetap dengan pendirian bahawa bajet ini adalah bajet pilihan raya kerana kerajaan memasukkan beberapa langkah tertentu seperti peruntukan RM500 juga kepada kontraktor Kelas F, meningkatkan elaun bulanan pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung, dan juga peningkatan perbelanjaan buat sektor perbekalan dan perkhidmatan.

"Saya masih percaya yang ini adalah bajet pilihan raya. BN kelihatan sedang bersiap sedia untuk hadapi pilihan raya umum," kata Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, Tony Pua.

Pandangannya itu turut dikongsi oleh penganalisis politik Prof James Chin dari Monash University di Kuala Lumpur.

"Kali terakhir petugas kerajaan tidak dapat banyak, dan kali ini Perdana Menteri memberikan insentif RM500 untuk meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan anak-anak ke sekolah," katanya.

Bagi penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian pula, Bajet 2011 bukan satu bajet pilihan raya, kerana ia lebih kepada langkah Perdana Menteri mewujudkan keseimbangan antara pembangunan modal insan dan pembangunan infrastruktur.

"Ini mungkin langkah pertama ke arah pilihan raya, tapi ia bukan bajet pilihan raya," kata pensyarah Universiti Sains Malaysia itu.

Perdana menteri sebenarnya sedang memberi tumpuan kepada bajet yang dapat membantunya dalam mendapatkan hasil Rancangan Transformasi Kerajaan dan Rancangan Transformasi Ekonomi, katanya.

Walau ke arah mana sekalipun Bajet 2011 ini, ia adalah, belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dalam usaha Malaysia bergerak ke arah mencapai negara maju menjelang 2020. Ia menyaksikan peruntukan keseluruhan kerajaan berjumlah RM212 bilion, menggariskan pelan strategi dan projek- projek utama ke arah mentransformasi negara mencapai sasarannya.

Cadangan peruntukan yang dibuat itu berjumlah RM212 bilion, 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan pada 2010 apabila RM162.8 bilion akan digunakan untuk perbelanjaan mengurus sementara RM49.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.

Paling penting, Bajet 2011 mendakap semangat dan realiti pentadbiran terkini yang mengangkat Konsep 1Malaysia sebagai falsafah induk memandu hala tuju negara, Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi pula dijadikan peta panduan.