Monday, August 9, 2010

PELUANG ORANG MELAYU SEMAKIN MENGECIL DI PULAU PINANG

Keputusan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP menghalang peniaga Bazar Ramadan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di Bandaraya Pulau Mutiara itu berniaga sepanjang bulan puasa membuktikan kerajaan negeri di bawah pimpinan DAP memiliki sikap perkauman yang tebal.
Ia bukan sahaja menyekat peluang orang Melayu berniaga tetapi tidak menghormati Ramadan.

Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO negeri, Aziaan Ariffin berkata, ia memperlihatkan kerajaan negeri mengamalkan budaya pilih kasih terhadap orang Melayu khususnya peniaga kecil.

Menurutnya, keputusan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Komtar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik itu merupakan satu bentuk penganiayaan terhadap para peniaga Melayu.

"Ini jelas merupakan diskriminasi terhadap peniaga-peniaga Melayu. Setelah kerajaan negeri merobohkan gerai-gerai orang Melayu, kali ini mereka halang pula peniaga-peniaga Melayu untuk mencari rezeki.

"Ia memperlihatkan sikap pilih kasih pemimpin DAP dan menunjukkan sikap perkauman yang amat tebal," katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia semalam.

Akhbar itu semalam melaporkan, pihak pengurusan Komtar, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), iaitu sebuah agensi kerajaan negeri menghalang peniaga Melayu daripada berniaga di Bazar Ramadan yang diwujudkan di tingkat tiga kompleks tersebut setiap kali Ramadan.

Kesemua 27 peniaga terbabit hanya dimaklumkan kelmarin tentang keputusan PDC itu sedangkan persiapan telah dibuat untuk mereka memulakan perniagaan semalam.

Aziaan member amaran, Pemuda UMNO akan bertindak sewajarnya jika masalah para peniaga terbabit tidak diselesaikan. “Pemuda UMNO Pulau Pinang akan bertindak lebih agresif jika masalah ini tidak diselesaikan segera," tegasnya.

Hari ni dikatakan kira-kira 1,000 orang peniaga dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijangka berhimpun di kompleks itu bagi membantah tindakan kerajaan negeri tidak membenarkan peniaga Bazar Ramadan berniaga di situ.

Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Komtar, Mohamed Ghani Abd. Jiman berkata, langkah itu diambil selepas beliau menerima maklum balas daripada peniaga-peniaga Melayu yang tertekan dan kecewa dengan tindakan kerajaan negeri.

“Kami akan berkumpul esok (hari ini) dimulakan dengan sidang akhbar pukul 10 pagi ini bagi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan negeri yang menghalang peniaga Bazar Ramadan beroperasi di Komtar.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ia telah wujud setiap kali Ramadan sejak lebih 20 tahun lalu,” katanya.

Menurut Mohamed Ghani, beliau akan bertemu Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman esok bagi mendapat penjelasan sebenar mengenai keputusan PDC tersebut sekali gus membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

“Hanya dia (Mansor) harapan untuk membantu kami kerana dia ialah pemimpin Melayu tertinggi dalam kerajaan negeri. Kalau dia juga tidak dapat membantu, memang dia juga bersekongkol dengan DAP menindas orang Melayu,” tegasnya.