Daripada www.kijang-jantan.blogspot.com (FRIDAY, JULY 9, 2010)
(Tajuk asal ‘MELAYU YANG MEMERANGI MELAYU-ISLAM’)
Saya amat tertarik dengan entri terbaru blogger Kickdefella atau Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang menimbulkan persoalan ‘Agenda Melayu: Menang Sorak, Semenanjung Tergadai.’
Kickdefella yang rapat dengan pemimpin PAS dan beberapa pemimpin pembangkang lain tentunya mempunyai fakta ‘dari dalam’ mengenai jumlah yang dikumpul oleh pemimpin pembangkang bagi tujuan ‘menjatuhkan Melayu’.
Seperti dipetik Utusan Malaysia dengan tajuk ‘Berapa bilion berperang sesama Melayu?’ hari ini, persoalan utama yang dikemukakan oleh Kicikdefella ialah berapa bilionkah yang akan dihabiskan supaya calon Melayu boleh menewaskan calon Melayu pada pilihan raya umum akan datang?
Kickdefella turut mempersoalkan berapa banyak wang, masa dan tenaga orang-orang Melayu yang akan dihabiskan untuk tujuan berperang sesama Melayu.
Persoalan saya hasil entri Kickdefella ini, dari mana dan bagaimana wang itu dapat dikumpulkan?
Persoalannya:
1. Kaya sangatkah pemimpin Melayu dari PAS dan Parti Keadilan Rakyat?
2. Sanggupkah penyokong PAS dan Keadilan mengeluarkan wang sebegitu banyak?
3. Kalau tidak mampu, siapakah yang membiayai mereka ini?
Perkara lain ialah jika benar inilah yang diusahakan oleh pemimpin Melayu dan Islam, khususnya PAS, sedarkah mereka sebenarnya mereka cuba menjatuhkan kerajaan Melayu-Islam berpaksikan Barisan Nasional yang sama-sama ditegakkan oleh bukan-Melayu.
Apa jaminan PAS dapat daripada pemimpin bukan-Melayu dan bukan-Islam apabila menegakkan kerajaan baru dalam konteks memulihara dan menegakkan Islam?
Apakah Melayu dan Islam bertambah baik di Pulau Pinang dan Selangor?
Apakah orang Melayu dan Islam dilindungi seperti dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional selama ini berbanding di Pulau Pinang?
Menurut Kickdefella, ''Exco Kanan Kelantan, Datuk Husam Musa dalam ceramah terbukanya di Taman Guru tidak lama dulu berkata, dia akan cari RM20 juta untuk memerangi UMNO supaya parti itu tumbang.
"Saya sendiri pernah menulis bahawa Husam memberitahu saya dia perlu dapatkan RM200 juta untuk bawa PAS ke Putrajaya. Kalau seorang ekonomis seperti Husam menyasarkan jumlah itu, bagaimana pula puluhan ekonomis di dalam UMNO?".
Katanya, perebutan orang Melayu Islam di Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum akan datang melibatkan 109 kerusi Parlimen.
Katanya, perebutan itu akan melibatkan 65 kerusi Parlimen yang dimenangi UMNO dan 23 yang dimenangi PAS.
Parti Keadilan Rakyat pada suatu ketika memiliki 20 kerusi yang dimenangi oleh calon Melayu Islamnya dan Bebas satu kerusi, yang dimenangi oleh Datuk Ibrahim Ali atas nama PAS.
"PAS sekarang memiliki 23 kerusi di Dewan Rakyat manakala UMNO pula memiliki 65 buah kerusi yang dimenanginya di Semenanjung Malaysia. Jadi PAS ada peluang untuk bertanding lebih banyak kerusi dan ada kemungkinan untuk menang lebih besar dari DAP dan PKR.
"Untuk memperoleh kerusi lebih banyak, PAS perlu menyandarkan nasibnya kepada pemilih bukan Melayu dan bukan Islam serta pada waktu yang sama berusaha menyedapkan hati orang-orang Islam dengan menjemput beberapa kerat orang Cina dan India untuk membaca sepatah dua al-Quran kepada orang-orang Islam," katanya.
Syed Azidi bagaimanapun menyoal, adakah PAS yakin bahawa pemilih-pemilih bukan Melayu akan membiarkan parti itu menunggangi mereka untuk menjadikan Parti Islam Se-Malaysia sebagai parti tunjang pakatan pembangkang.
Beliau memberitahu, agenda Melayu sukar dilaksanakan kerana komposisi ahli Parlimen Melayu dan Islam yang berada di dalam kerajaan Pusat hanyalah 39 peratus.
"Sedangkan daripada 222 ahli Parlimen, jumlah keseluruhan ahli Parlimen dari keturunan Melayu dan beragama Islam ialah ialah 58 peratus daripada keseluruhan ahli Dewan.
"Ini bererti hampir 19 peratus ahli Parlimen Melayu dan bumiputera Islam lain berada di luar kerajaan manakala 17 peratus ahli Parlimen bukan Melayu, bukan bumiputera dan bukan Islam membentuk sebuah pakatan yang akhirnya menambah sukarnya agenda Melayu dilaksanakan," katanya.
Untuk lebih jelas entri Kickdefella, ikuti tulisannya:
Agenda Melayu: Menang Sorak, Semenanjung Tergadai
8 07 2010
“Orang Melayu pernah tinggalkan Dato’ Onn dalam usaha membawa kemerdekaan, bukannya kerana orang Melayu tidak sayangkan beliau ataupun menyisihkan beliau,” katanya sambil menambah, jika perlu meninggalkan beberapa orang demi perpaduan “kita kena memikirkan perkara ini.”
“Tetapi lebih manis kalau Datuk Nik Aziz boleh dibawa bersama, tetapi tengok sejarah ada tokoh-tokoh yang baik, kita kena tinggalkan,” kata beliau. – Di petik dari artikel Perpaduan Melayu: Kickdefellanikaziz idea nakal, tak wajar sisih Nik Aziz oleh G Manimaran, The Malaysian Insider.
Sudah tiba masanya saya bercakap soal Perpaduan Melayu. Tidak! Saya tidak mahu bercakap soal menyelamatkan UMNO atau satu dua pemimpin yang ditolak massa. Dulu kita sebenarnya tidak bercakap soal Perpaduan Melayu, sebab agenda sebenarnya ialah untuk menyelamatkan kedudukan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden UMNO.
Kemudian kita bercakap soal Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Tanpa Pembangkang. Itu bukan agenda Melayu. Itu adalah agenda mengekalkan Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Malaysia setelah beliau ‘dipaksa’ berundur sebagai Presiden UMNO.
Bagaimana agenda mempertahankan Yang Amat Berhormat Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap agenda Perpaduan Melayu?
Bagaimana agenda yang hanya memanfaatkan Kamaluddin Abdullah dan YB Khairy Jamaluddin boleh di anggap membela Melayu?
Tetapi agenda Melayu hendaklah di lihat dari sudut-sudut lain. Daripada 222 orang Ahli Dewan Rakyat yang dipilih dalam Pilihanraya Umum Ke 12, komposisi Melayu dan Islam yang berada di dalam Kerajaan Pusat hanyalah 39% sahaja.
Sedangkan jumlah keseluruhan Ahli Dewan Rakyat dari keturunan Melayu dan yang beragama Islam ialah 58% dari keseluruhan ahli dewan. Ini beerti hampir 19% Ahli Dewan Rakyat Melayu dan lain-lain Bumiputera Islam berada di luar Kerajaan bersama 17% Ahli Dewan Rakyat Bukan Melayu, Bukan Bumiputera dan Bukan Islam membentuk sebuah Pakatan yang akhirnya menambah sukarnya agenda Melayu dilaksanakan.
Dari segi matematiknya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz diyakinkan bahawa, paling banyak DAP dan PKR boleh menambah kerusi Dewan Rakyat di dalam PRU akan datang ialah 20 sahaja, iaitu 15 kerusi dari MCA, 3 kerusi dari MIC dan 2 kerusi dari GERAKAN. Ini kerana DAP sudah meramPAS 26 kerusi majoriti pengundi Bukan Melayu di Semenanjung Malaysia dan calon Bukan Melayu PKR pula sudah meramPAS 10 kerusi campuran.
PAS sekarang memiliki 23 kerusi di Dewan Rakyat. UMNO pula memiliki 65 buah kerusi Dewan Rakyat yang dimenanginya di Semenanjung Malaysia. Jadi PAS ada peluang untuk bertanding lebih banyak kerusi dan ada kemungkinan untuk menang lebih besar dari DAP dan PKR. Tetapi itu adalah hanya kemungkinan.
Untuk memperolehi kerusi lebih banyak, PAS perlu menyandarkan nasibnya kepada pemilih Bukan Melayu dan Bukan Islam serta pada waktu yang sama berusaha menyedapkan hati orang-orang Islam dengan menjemput beberapa kerat orang Cina dan India untuk membaca sepatah dua Al Quran kepada orang-orang Islam. Serta beberapa kerat ini menyelitkan pula satu dua nama pemimpin besar Islam dalam penjelasan polisi mereka. Tetapi yakinkah PAS bahawa pemilih-pemilih bukan Melayu akan membiarkan PAS menunggangi mereka untuk menjadikan Parti Islam SeMalaysia sebagai parti tunjang Pakatan Rakyat?
Selain 65 buah kerusi Dewan Rakyat yang dimenangi UMNO dan 23 yang dimenangi PAS, PKR pada suatu ketika memiliki 20 kerusi yang dimenangi oleh calon Melayu Islamnya dan Bebas satu kerusi, yang dimenangi oleh Ibrahim Ali atas nama PAS. Ini beerti terdapat 109 buah kerusi yang akan menjadi perebutan orang-orang Melayu Islam di Semenanjung Malaysia.
Bayangkan betapa banyak wang, masa dan tenaga orang-orang Melayu yang akan dihabiskan untuk tujuan berperang sesama Melayu. YB Husam Musa berkata dalam ceramah terbukanya di Taman Guru tidak lama dulu bahawa dia akan cari RM20 juta untuk memerangi UMNO supaya parti itu tumbang.
Saya sendiri pernah menulis bahawa Husam memberitahu saya dia perlu dapatkan RM200 juta untuk bawa PAS ke Putrajaya. Kalau seorang ekonomis seperti Husam mensasarkan jumlah itu, bagaimana pula puluhan ekonomis di dalam UMNO?
Berapa billionkah yang akan dihabiskan supaya calon Melayu boleh lawan calon Melayu dan tewaskan calon Melayu?
Saya ingin berhenti di sini dahulu buat kali ini. Isu ini sungguh menyayat hati untuk diteruskan penulisannya.
(Nota: Situasi semasa di Dewan Rakyat, GERAKAN 2, LDP 1, MCA 15, MIC 4, PBB 14, PBRS 1, PBS 3, PRS 6, SPDP 4, SUPP 5, UMNO 78, UPKO 4, DAP 29, PAS 23, PKR 24, PSM 1 dan BEBAS 8).
Friday, July 9, 2010
BETULKAH EKONOMI MALAYSIA BERADA PADA LANDASAN TEPAT?
"Terdapat tanda-tanda akan berlakunya kemelesetan ekonomi berganda di negara-negara Eropah dan perkara ini secara tidak lansung akan mempengaruhi keadaan ekonomi negara..." Dr Mahathir Mohamad
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam memberi amaran Malaysia kemungkinan berdepan dengan kemelesetan ekonomi berganda sekiranya keadaan ini berlaku di negara-negara Eropah.
Beliau yang baru pulang dari lawatan ke England berkata, bahawa terdapat tanda-tanda akan berlakunya kemelesetan ekonomi berganda di negara-negara Eropah dan perkara ini secara tidak lansung akan mempengaruhi keadaan ekonomi negara.
"Saya baru balik (dari England). Di Eropah (kemelesetan ekonomi berganda) akan berlaku. Kalau jadi di sana, kita pun mungkin berjangkit jugalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Kontrak antara Iris Corporation Bhd. dan Koperasi Atlet Malaysia Bhd. di Kuala Lumpur semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pula mengatakan Malaysia dalam kedudukan untuk mencapai sasaran pertumbuhan enam peratus tahun ini seiring dengan keadaan ekonomi yang bertambah baik di Asia .
Menurut beliau pertumbuhan di China, India, Vietnam dan Indonesia adalah baik dan semakin baik dan kita dalam kedudukan untuk mencapai sasaran pertumbuhan enam peratus," katanya selepas merasmikan Seminar Mengenai Peluang Pada 2010 dan Melangkauinya Bagi Pelabur dan Syarikat Asia MPH Power-Packed oleh Jim Rogers di Petalingjaya semalam.
Dr Mahathir mengulas kenyataan ramai ahli ekonomi dan penganalisis bahawa akan berlaku kemelesetan ekonomi global berganda pada separuh kedua tahun ini dan sama ada ekonomi Malaysia akan menerima nasib yang sama.
Walau pun pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai pelan ekonomi dan langkah-langkah yang progresif termasuk Model Baru Ekonomi (MBE), beliau berkata, adalah sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku pada masa depan kerana apa juga yang berlaku di luar negara, tempiasnya akan terkena juga pada Malaysia.
"Kerajaan telah melakukan pelbagai langkah tetapi kita tak boleh meramalkan (apa yang akan berlaku pada masa akan datang) kerana apa yang berlaku di luar turut mempengaruhi kita," katanya.
Sebaliknya Nor Mohamed mengulas Bajet 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 15 Oktober ini yakin pertumbuhan sebanyak 6 peratus itu dapat dicapai.
Pada masa ini, input sedang dikumpulkan daripada pelbagai pihak yang berkepentingan.
Selasa lalu, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata Bajet 2011 akan menetapkan rentak transformasi Malaysia ke arah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Beliau berkata, ia akan dicapai melalui empat tonggak agenda transformasi negara, iaitu Konsep 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10).
Dalam konteks kebimbangan mengenai prospek ekonomi Malaysia ini, pada 4 Julai lalu, Inter-Pacific Research Sdn. Bhd meramalkan prospek ekonomi negara akan terus goyah dalam enam bulan kedua tahun ini walaupun petunjuk makro dalam enam bulan pertama memberikan sedikit harapan.
"Kemungkinan bagi petunjuk ekonomi menjadi perlahan dalam enam bulan kedua tahun ini adalah tinggi, mungkin diruntun oleh gabungan isu-isu domestik dan luar negara," kata firma penyelidikan itu.
"Sekiranya momentum makro mula menurun dalam enam bulan kedua 2010, ia boleh menjadi unsur rintangan bagi pasaran Asia dalam tempoh ini, termasuk Malaysia," katanya dalam satu nota penyelidikan padavtarikh tersebut.
Dalam pasaran tempatan, kata Inter-Pacific, tumpuan adalah terhadap gabungan isu, dengan perhatian utama terhadap pelaksanaan dasar Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Model Baru Ekonomi.
Dasar-dasar berkaitan reformasi ekonomi dan usaha membentuk ekonomi menjadi ekonomi berpendapatan tinggi merupakan langkah terpuji tetapi masalah kritikal ialah melaksanakannya, katanya.
Di peringkat global, risiko kemerosotan berganda pertumbuhan global semakin memuncak, ditambah dengan krisis hutang euro yang boleh menjadi isu menular, dan pertumbuhan yang lebih lembap daripada dijangkakan di China dan India mungkin mengakibatkan kurangnya perbelanjaan pengguna yang berterusan, kata Inter-Pacific.
Jika kita masih ingat, pada 24 Februari lalu, Najib sendiri mengakui pencapaian ekonomi Malaysia yang mencatat pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus bagi suku keempat tahun lepas merupakan di luar jangkaan. Katanya, ia hasil daripada permintaan dalam dan luar negara yang lebih kukuh,"katanya ketika mengumumkan prestasi ekonomi negara bagi suku berkenaan di Putrajaya.
Namun demikian, Najib yang juga Menteri Kewangan mengakui, bagi tahun lalu ekonomi negara mencatatkan penguncupan sebanyak 1.7 peratus iaitu lebih rendah daripada penguncupan 3.0 peratus yang diunjurkan sebelum ini.
Ekonomi negara mencatatkan penguncupan tiga suku berturut-turut iaitu 6.2 peratus pada suku pertama, 3.9 peratus pada suku kedua dan 1.2 peratus pada suku ke tiga tahun lalu.
Semasa ditanya mengenai unjuran tahun ini, Najib berkata: "Kita yakin mengenainya."
Mengenai sama ada waktu sukar telah berlalu bagi ekonomi negara, beliau berkata ia telah berlalu sekiranya tiada perkara yang serius yang tidak dijangka berkait dengan ekonomi global timbul.
"Sebagai contoh, sekiranya tiada keruntuhan negara utama yang tidak dijangka kita boleh menyifatkan kita ini telah pulih daripada krisis dan kita sepatutnya melihat pertumbuhan yang lebih kukuh pada 2010."
Sama ada negara boleh mencapai pertumbuhan 5.0 peratus tahun ini, beliau menjawab: "Boleh."
"Unjuran awal ialah kira-kira 4.0 peratus untuk tahun ini. Saya harap, boleh mencapai satu atau dua peratus lebih dari itu."
Juga dijangka menjadi penyumbang ialah sektor awam yang terus memainkan peranan utama dalam merangsang pertumbuhan pada suku tersebut.
"(Kita) akan berusaha sepenuhnya bagi memastikan kita dapat memberi keyakinan dan pelaksanaan segera projek-projek dan menggalakkan sektor swasta untuk melabur dan dengan keyakinan pengguna yang lebih tinggi. Kita perlu menjadikan tahun ini baik dari segi prestasi ekonomi."
Bagi Najib, pelaksanaan kedua-dua pakej rangsangan kerajaan yang lebih pesat merupakan faktor utama yang menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.
Keyakinan Najib turut diletakkan pada peningkatan penggunaan swasta yang disokong oleh pasaran pekerja yang lebih baik, kadar inflasi yang rendah, serta perbelanjaan yang lebih tinggi semasa musim cuti persekolahan dan perayaan pada akhir tahun.
Dan dengan pertumbuhan penggunaan swasta yang berterusan dan peningkatan dalam perbelanjaan sektor awam, ia menyumbang kepada permintaan dalam negeri yang lebih tinggi yang mencatat kenaikan sebanyak tiga peratus pada suku keempat berbanding 0.4 peratus pada suku ketiga.