Monday, April 26, 2010

BARISAN NASIONAL MENANG TETAPI...


Apakah kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Hulu Selangor semalam (24 April 2010) menjadi pembuka jalan untuk BN melonjak semula?

Kemenangan yang dilihat sebagai kebangkitan semula BN memerlukan penilaian mendalam mengenai kenapa rakyat menyokong BN dan menolak pembangkang selain apakah janji-janji pilihan raya kecil seperti itu memang ‘diperlukan’ oleh rakyat tempatan?

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim walaupun akur dengan kekalahannya pada pilihan raya kecil Parlimen P 094 Hulu Selangor semalam tetapi tetap bersikap sour grape.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau akan berasa puas hati sekiranya rakyat merasakan mereka tidak tertipu dengan keputusan semalam.

“Apa yang kita hadapi ialah satu sistem politik yang teruk dan pemimpin yang tidak hormat pada undang-undang, Saya berjanji saya akan sama-sama dengan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan bekerja keras dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti,”” katanya ketika berucap dihadapan 300 penyokong PKR di Stadium Kuala Kubu Baru.

Beliau mendakwa pilihan raya kecil kali ini adalah yang paling buruk dan penuh dengan penipuan dalam sejarah pilihan raya kecil berlangsung.

Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula, beliau menyifatkan kemenangan Kamalanathan padapilihan raya itu itu sebagai satu peralihan besar sokongan rakyat kepada BN. Lebih menggembirakan BN ialah kemenangan itu membawa erti yang amat besar kerana bertanding di negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.

Kemenangan Kamalanathan yang banyak disifatkan sebagai calon UMNO bukan MIC membawa erti yang amat besar kerana peralihan sokongan pada BN yang menghampiri 2,000 undi.

Namun ada sesuatu yang perlu dihalusi dengan mendalam, iaitu walaupun menang dengan majoriti 1,725, tetapi pengundi Cina didapati tidak menyokong BN, bukan sahaja dalam pilihan raya kecil itu tetapi juga semasa pilihan raya umum 2008.

Hakikat yang perlu dihalusi secara mendalam ialah:

1. MCA memerlukan anjakan paradigma bagi mendekati masyarakat Cina yang dilihat tidak begitu memberi perhatian kepada soal kehendak dan keperluan asas. Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengakui anjakan paradigma ini mesti datang dari pemimpin MCA sendiri. Persoalannya ialah apakah MCA Hulu Selangor mempunyai masalah dalamannya sendiri sehingga sokongan masyarakat Cina semakin berkurangan?;

2. Gerakan pula mengakui walaupun BN menang, tetapi terdapat pelbagai isu yang perlu ditangani dan diselesaikan. Sokongan di kalangan masyarakat Cina tidak bertambah; dan,

3. MIC pula mengatakan partinya perlu menggandakan usaha untuk menarik kembali sokongan pengundi India.

Apa yang penting sekarang ialah sama ada MCA mahupun Gerakan, kedua-duanya perlu melihat kembali peranan mereka apakah kedua-duanya benar-benar berfungsi atau sebaliknya.
Bagi Perdana Menteri, "Kita akan buat analisa tentangkeputusan ini, saya tak mahu buat kesimpulan terlalu cepat sebab kitakena kaji perkara ini dengan mendalam. Walaupun kita kalah di kawasan pengundi Cina, tapi berdasarkan kepada keputusan, ini adalah permulaan yang baik," katanya.

Najib turut mengucapkan terima kasih kepada semua jentera BN yang diketuai Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kerja keras selama ini.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata apabila ia mula berkempen di Hulu Selangor, tahap sokongan hanya sekitar 12 hingga 15 peratus. Selepas perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) turun menemui rakyat, ia meningkat kira-kira 25 peratus.

Apakah maknanya itu? Tidakkah itu menggambarkan betapa kepimpinan kedua-dua parti komponen BN itu pada peringkat yang lemah dan benar-benar memerlukan anjakan paradigma?

Sementara bagi MIC pula, Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata parti itu mendapat sedikit kejayaan dalam memenangi pengundi India. Dalam pilihan raya ini ia mendapat kira-kira 65 peratus sokongan tetapi tidak sebanyak 80 peratus sebelum 2008.

Soal penting kini ialah MIC juga perlu perlu melakukan bedah sasat dan terus berusaha mendapat sokongan pengundi India menerusi pelbagai strategi.

Dengan kemenangan ini usaha untuk BN merampas semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang perlu dilipatgandakan.

Dengan MCA dan Gerakan berusaha memperbaiki imej dan melipatgandakan usaha melalui anjakan paradigmanya, sudah pasti kemenangan semalam akan mencorakkan perhubungan lebih erat melalui 1 Malaysia.

Apapun, BN juga perlu menyelami kenapa seramai 23,272 pengundi menentang BN. Apakah mereka taksub dengan pembangkang, terpedaya atau memang ‘berkarat pembangkang’.
Jika demikian, pendekatan baru untuk menambat hati pengundi perlu dicari dan usaha untuk menyinarkan semula BN perlu dilakukan segera.

Soal penting juga ialah semua janji BN pada pengundi Hulu Selangor hendaklah dipenuhi dan tugas Datuk Noh Omar yang diamanahkan bagi menjamin perlaksanaan semua projek yang dijanjikan bukan mudah.

Melegakan apabila Kamalanathan berikrar akan memastikan segala janji yang dibuat sepanjang kempen berlangsung dilaksanakan secepat mungkin. ''Saya akan melawat semua pengundi di Parlimen Hulu Selangor secepat mungkin untuk mengucapkan terima kasih, sama ada mereka mengundi beliau atau tidak, ia tidak menjadi persoalan kerana bagi beliau semua pengundi adalah sama.

Satu perkara yang juga menarik pada pilihan raya kecil ini, buat sekian lama dalam kempen beberapa siri pilihan raya kecil, Hulu Selangor menggembalikan kerjasama pemimpin utama negara untuk berada di atas satu pentas bagi memberi penjelasan kepada rakyat.

Ketiga-tiga pemimpin tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Mereka hadir pada majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia di Bukit Beruntung sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen itu.

Kehadiran lebih 5,000 orang yang memenuhi jalan raya menuju ke Pangsapuri Anggerik, Taman Bunga Raya, di Bukit Beruntung yang menjadi lokasi ceramah menyebabkan kesesakan teruk sepanjang tiga kilometer.

Seharusnya kesepakatan antara kepimpinan terkini dengan yang lalu dipereratkan lagi demi menjamin BN benar-benar menggambarkan parti perpaduan.

Perpaduan sebenar tidak wujud dan menyerlah sekiranya jika dalam parti komponen sendiri, khususnya apabila pemimpin UMNO, MCA dan MIC bercakaran sesama sendiri.

BN perlu menjamin agar ikatan yang erat antara pemimpin bukan sahaja berlaku di kalangan pemimpin parti yang ada sekarang.

Kehadiran Dr Mahathir kali ini penuh bermakna kerana dia bukan sahaja menyokong BN tetapi juga menyokong kepimpinan Najib yang dilihat mampu pergi lebih jauh pada pilihan raya umum ke 13 akan datang.

2 comments:

  1. Orang Melayu menobatkan calon MIC sebagai wakil mereka mengenepikan bangsanya sendiri dilihat sebagai satu pembangunan daya fikir orang Melayu.... ya kah begitu? Sekian lama MIC hanya mengharapkan Melayu menobatkan calon mereka kecuali PR umum yang lalu. MIC kali ini bukan wakil Sammy Vellu, mungkin itukah sebabnya?

    Apa pun jika meneliti keseluruhan episod, Zaid menjadi puncanya. Pengundi disana ramai menjadi penyokong setia atau yang bersimpati dengan PAS. Jika calun yang dipilih tidak Islamic, ia akan tertolak. Kisah Zaid dengan araknya amat memberi kesan. Pertelagahannya dengan YB Zulkifli Nordin juga ada ifeknya. Sokongan Zaid kepada gerakan kristian telah terdedah.

    Jika PR meletak orang lain, masih ada peluang terutama jika calon dari PAS.

    ReplyDelete
  2. Bagi pendapat saya, kemenangan UBN di Hulu Selangor, bukan lah 1 titik permulaan bagi UBN, sebelum pembuangan undi di Hulu Selangor, DSN ada menyatakan dia mahu UBN mesti menang mejoriti 6 Ribu, erti nya Jentera UBN mesti main peranan, walau apa pun yang terjadi. jadi kemenangan UBN di Hulu Selangor, tetapi yang menentukan nanti di PRU ke 13, seperti kekalahan Kalid Ibrahim di Ijok dalam pilihan Raya kecil, tetapi dalam Pilihan Raya Umum ke 12, Kalid Ibrahim menang besar di Ijok, renung renung kan lah.

    ReplyDelete