Sebelum ini “Bekerja Bersama Saya, bukan kerja untuk saya“, kini “Bangkitlah Bersama Saya”.
Apakah pemimpin dan ahli UMNO sedang ‘tidur’ apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengajak “Bangkitlah semua bersama-sama saya.”
Rasanya bukan begitu maksud Najib. Pemimpin dan ahli bukan tidur tetapi ‘terlelap’ seketika.
Ajakan Najib bertujuan menggembalikan keyakinan dan semangat kepada ahli dan pemimpin UMNO bahawa ‘ You Can Do It’ selepas UMNO malap beberapa tahun.
Kenapa ia dikatakan malap?
Kerana selepas mencapai kejayaan gemilang pada pilihan raya 2004, UMNO selepas itu bagaikan tidak bermaya.
Salah siapa? Salah Tun Abdullah Ahmad Badawi? Bukan. Salah semua kepimpinan UMNO termasuk Najib sendiri kerana tidak mampu bekerja bersama Pak Lah untuk menjamin UMNO terus terbilang.
Yang nyata UMNO mengalami kesuraman yang amat sangat pada pilihan raya umum 2008 dan pada siri pilihan raya kecil, UMNO kecundang kesemuanya, kecuali Bagan Pinang.
Kemenangan Tan Sri Mohd Isa Samad itupun bukan kerana UMNO sepenuhnya tetapi sebahagian besar disumbangkan UMNO – Bahagian UMNO Teluk Kemang memang ‘solid’.
Tidak ada cantas mencantas seperti di bahagian-bahagian UMNO di Kelantan atau Kuala Terengganu.
Juga Najib menyeru dan membangkitkan ahli UMNO yang sedang alpa dan “terlelap’ dengan berkata: “Kitalah, UMNO, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang.”
Sebelum ini masa depan yang cuba dibawa oleh UMNO sebagai Cemerlang, Gemilang Terbilang tetapi Najib hanya berminat supaya UMNO dan masadepan ahlinya penuh “Gilang-Gemilang”.
Apapun, untuk kali pertamanya selepas beberapa tahun, pemimpin dan ahli UMNO seluruhnya ‘berdiri bulu roma’ mendengar ucapan bersemangat Presiden UMNO apabila perwakilan dan tetamu dalam Dewan Merdeka, PWTC spontan berdiri menyahut seruan beliau dengan memberikan tepukan gemuruh.
Dengan nada lantang dan tegas, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyemarakkan semangat setiap perwakilan supaya bangkit bersama-samanya kerana amanah yang besar itu tidak mampu dipikul oleh beliau bersendirian.
Baguslah begini, Najib sedar akan kemampuan peribadinya dan oleh kerana UMNO adalah hak orang Melayu seluruhnya, kemampuan pemimpin bergantung kepada sokongan.
“Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung,” tegas Najib dan disambut laungan “Ya” dan “Ya” dan “Ya” daripada perwakilan yang terus berdiri.
Apakah mesej Najib? “Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan.
Ini bermakna, walau apa juga perubahan yang dibawa oleh UMNO, tradisi UMNO berteraskan kepentingan Melayu perlu dipertahankan, biarpun zaman dan kecapian orang Melayu perlu berubah.
Ini janji Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Orang Melayu akan menuntut janji jika Najib alpa atau tersesat jalan.
Inilah sebenarnya KPI untuk Najib. Menjamin agar tradisi Melayu – bersopan santun, berjiwa besar dan Islam’ terus diperteguhkan sambil orang Melayu berubah untuk menjadi bangsa maju sesuai dengan hasrat Malaysia Maju.
Dalam konteks UMNO itu sendiri, Najib turut menyedarkan serta berusaha meyakinkan orang Melayu, khususnya ahli UMNO bahawa perjuangan mereka adalah betul dan yang haq.
Kenapa? Kerana “UMNO adalah satu-satunya parti yang membawa obor harapan serta mampu meneroka masa depan penuh gilang gemilang untuk bangsa Melayu dan rakyat keseluruhannya.”
Di sini, Najib memberitahu seluruh rakyat Malaysia bahawa UMNO akan terus relevan dan akan tetap dominan.
Untuk survival dan maju serta masa depan yang terjamin, Najib mengatakan hanya UMNO yang mampu melakukannya, tidak parti lain, selain UMNO.