Sunday, February 15, 2009

NAJIB JANJI CALON ANAK TEMPATAN

Dah putuskan baguslah. Jangan ubah lagi.

Cubaan ketiga Datuk Seri Najib Tun Razak pada pilihan raya kecil dan kali ini di Bukit Gantang nanti benar-benar mencerminkan keupayaan beliau.

Apa pun ia akan menggambarkan keadaan dan kehendak setempat.
Gandingan Najib dan Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir perlu menjamin kemenangan pada kerusi ini.
Pilihan raya kecil berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum, 50, daripada PAS pada 9 Februari lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan penamaan calon bagi kerusi kawsan itu akan diadakan pada 29 Mac, dan jika ada pertandingan, pengundian akan berlangsung pada 7 April 2009.
Kalau kalah juga, jangan salahkan sesiapa kerana semua kriteria dipenuh pada pilihan raya Parlimen Bukit Gantang ini.

Pertama, Najib adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Perak dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak sudah pasti mempunyai segala peralatan untuk memenangkan UMNO;
Kedua, permintaan dan desakan UMNO Perak dan UMNO Bukit Gantang sudah dipenuhi iaitu akan meletakkan calon tempatan. Jangan ada lagi ‘klu-klek’ di Bahagian UMNO seperti di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu; dan
Ketiga, cabaran ini penting buat Najib selepas ‘kalah 2 kali’ di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Banyak mengatakan ia turut menentukan prestasi Najib selepas mengambil alih Presiden UMNO Mac nanti.
Bekas Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali kelmarin turut meminta BN belajar daripada kesilapan pada pilihan raya umum lepas serta menghormati kehendak penduduk tempatan.

Desakan supaya anak tempatan dipilih turut disuarakan oleh Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang Datuk Rosli Husin.

Najib berkata syarat utama yang ditetapkan bagi pemilihan calon adalah anak tempatan yang boleh diterima oleh semua.

"Mesti anak tempatan...kita ada senarai panjang dan pendek.

Nama akan ditentukan kemudian, kita punya masa lagi untuk buat tinjauan dan pilihan raya lama lagi. Kita akan buat (persediaan) apa yang patut," katanya.

Pemilihan anak tempatan sebagai calon BN hangat diperkatakan ekoran kekosongan kerusi berkenaan kerana pemilihan calon luar sebelum ini dianggap salah satu sebab kubu kuat BN itu terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya umum 2008.
Hari ini, Najib berkata BN telah memutuskan bahawa anak tempatan daripada Umno akan dipilih sebagai calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.

Timbalan Perdana Menteri berkata calon yang akan dipilih adalah daripada kalangan yang bergerak aktif di peringkat bahagian dan boleh diterima oleh rakyat.

Katanya dengan keputusan itu, sebarang spekulasi mengenai ada calon luar yang akan dipilih tidak akan berlaku lagi.

Najib mengumumkan demikian selepas mempengerusi mesyuarat tertutup BN Perak di ibu pejabat Umno Perak di sini yang membincangkan mengenai pilihan raya kecil berkenaan dan kedudukan kerajaan negeri baru BN di Perak.

Pada pilihan raya umum lepas BN meletak Bendahari Umno Datuk Seri Azim Zabidi sebagai calon manakala pada pilihan raya umum 2004, kerusi berkenaan dimenangi oleh Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe.

Selain kalah di parlimen itu pada pilihan raya umum 2008, BN hanya mempertahan satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu iaitu DUN Trong manakala DUN Kuala Sepetang dan Changkat Jering dirampas oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

UMNO TIADA GERAKAN BERSEPADU

(Sembang Ahad)

Semalam, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, UMNO akan terus memberikan penjelasan kepada rakyat mengenai situasi sebenar politik negara terutama di Perak bagi membolehkan rakyat mengetahui sikap sebenar pembangkang.

"Saya fikir rakyat tidak akan menyokong kumpulan yang ingkar dan derhaka kepada raja...kita akan terus memberikan penerangan kepada rakyat mengenai perkembangan semasa politik tanah air," katanya selepas melancarkan Program Tanam Semula Sawit Ke Sawit peringkat kebangsaan di Temerloh semalam.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga meminta supaya pihak berkuasa mengambil tindakan segera ke atas penulis blog yang menghina institusi raja di negara ini.

"Kita juga meminta Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi mengkaji bentuk tindakan yang boleh diambil ke atas penulis blog terbabit selain mengemukakan cadangan (bentuk tindakan) kepada pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata penulis blog telah memutar-belitkan keadaan sebenar yang berlaku di negeri Perak sehingga menjejaskan imej dan kredibiliti insititusi beraja yang selama ini dihormati dan termaktub di dalam Perlembagaan.

Wahai Ketua Penerangan UMNO, persoalannya bukan sekadar penjelasan dan mengambil tindakan terhadap penulis blog.

Ini cara lama dan kuno dalam abad ke 21 ini. UMNO sewajarnya ‘menyerang’ dan menggunakan sebarang peluang bukan penjelasan sepanjang masa.

Sekarang baru sedar blog dan website penting - namun apakah langkah bersepadu yang dilakukan Ibu Pejabat UMNO menggendalikan isu ini?

Cuba buka website UMNO negeri-negeri, apakah ia berfungsi?

Mana penulis blog UMNO Negeri?

Kalau mahu teruskan penjelasan, mananya penjelasan UMNO secara bersepadu mengenai isu-isu utama sama ada melalui parti atau saluran yang proUMNO?

Kita sering mendengar pemimpin UMNO membuat penjelasan dengan seribu irama, bukan satu nada dan irama!

Baru-baru ini ada bekas Menteri yang kononnya mendakwa dirinya sebagai orang yang diamanahkan untuk bertemu dan mengumpulkan penggendali dan penulis blog.

Beri nombor telefon dan blognya tetapi apabila dihubungi tidak pernah ada respon. Hangat-hangat tahi ayam!

Sebaliknya Pakatan Rakyat menggunakan blog dan penceramah secara bersepadu sedangkan UMNO hanya mengharapkan beberapa blog yang dikendalikannya sahaja untuk mempertahankan parti.

Kalau yang bukan di Ibu Pejabat UMNO, itupun kerana memang penggendali blog berkenaan bersimpati dengan BN dan sayangkan UMNO.

Tetapi apakah UMNO sayangkan mereka?

Jawapanya ada kepada pemimpin UMNO, termasuk Muhammad Taib.

Malah, kini Ketua Penerangan UMNO itu jelas sudah ‘patah kuku’ dan mati akal untuk menyusun program yang mampu menangkis serangan pembangkang apabila mahu mengambil tindakan terhadap blog propembangkang.

Memang benar bukan tugasnya seorang tetapi lihat sahaja apa yang dilakukan oleh PAS.
PAS menggunakan ramai penceramah, termasuk mualaf untuk membantu supaya orang Cina mempercayai perjuangan mereka. Malah ia bukan sekadar berceramah di tempat mereka, sebaliknya hingga ke negeri lain.

Contohnya malam kelmarin, pada ceramah perdana di Padang Perdana, Kota Bharu malam kelmarin, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perak, Khalil Adham Lim Abdullah cuba memupuk kemarahan orang Kelantan terhadap BN apabila berkata, rumah Adun Jelapang sekarang menjadi sasaran rakyat yang tidak berpuas hati terhadap tindakannya menjadi pembelot.

"Saya diberitahu setiap hari orang yang lalu lalang di depan rumahnya menghamburkan kata-kata kesat. Ada yang melemparkan telur busuk dan macam-macam lagi.
"Anaknya juga tidak dapat berniaga seperti biasa sekarang kerana tidak tahan berdepan dengan cemuhan orang ramai," katanya.

Menurut Adham Lim lagi, tiga bekas Adun Pakatan Rakyat yang menjadi penyebab kepada krisis perlembagaan di Perak dikatakan dihimpit kecelaruan apabila masih menyembunyikan diri sehingga sekarang.

Tiga Adun Bebas, Jamaluddin Mohd Razdi (Behrang); Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Fong (Jelapang) dikatakan oleh Adham Lim, belum kembali ke rumah mereka sejak episod kehilangan mereka sebelum ini.

Malah seorang daripada Adun terbabit, menurut Adham Lim tidak juga kembali ke rumah biar pun isterinya sakit tenat sekarang.

Manakala Hee Yat merupakan orang kurang upaya (OKU) juga belum pulang ke rumahnya.
Perkembangan isu di Perak sekarang ternyata menarik minat rakyat Kelantan apabila ribuan hadir. Padang Perdana dipenuhi 'lautan' manusia berkopiah dan bertudung putih.

Hadir sama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, anggota parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan wakil Hamas, Sami Abu Zahri.

Dilaporkan ribuan hadir pada ceramah di Kedai Kubang Kerian.

Sebelum itu ceramah juga diadakan di Padang Majlis Daerah Tanah Merah dan Markaz Tarbiah PAS Rantau Panjang.

Mana ceramah gabungan UMNO Pusat dan UMNO Kelantan?

PAK LAH: DENGARLAH CAKAP ORANG BUKIT GANTANG!

Amir Hamzah (Batu Pahat)
www.amirhamzah64-segalanyamungkin.blogspot.com

Pemimpin-pemimpin atasan UMNO perlu belajar daripada PRK Permatang Pauh dan juga PRK Kuala Terengganu. Khususnya PRK Kuala Terengganu di mana dikatakan ahli UMNO tidak memberi sokongan 100% kepada calon pilihan Pak Lah dan Khairi.

Setelah kalah di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang menjadi kerusi taruhan BN untuk menguji sokongan rakyat berdasarkan krisis politik yang berlaku di Perak. Kemenangan atau kekalahan BN di Bukit Gantang nanti akan memberi gambaran umum tentang pendirian rakyat Perak sama ada bersetuju atau menolak peralihan kuasa kerajaan negeri baru-baru ini.

Bagi mempastikan sokongan orang-orang Melayu khususnya UMNO terhadap calon yang diketengahkan nanti ianya mestilah berdasarkan pandangan dan kehendak orang-orang Melayu akar umbi khususnya dan UMNO Bahagian Bukit Gantang amnya. Undi Melayu adalah undi penentu berdasarkan statistik pengundi 2008.

Jumlah pengundi di P059 Bukit Gantang menunjukkan pengundi Melayu masih menjadi pengundi utama daripada 55, 471 pengundi keseluruhan. Pecahannya adalah seperti berikut. Bagi DUN Changkat Jering, pengundi Melayu mencatat 63.43% daripada 24,864 orang, DUN Kuala Sepetang, pengundi Melayu berjumlah 59.83% daripada 19,699 orang dan pengundi Melayu bagi DUN Trong pula berjumlah 69.42% daripada 10, 908 orang.

Perkara yang pasti, calon BN mestilah datang daripada UMNO. UMNO telah berkorban dengan menyerahkan calon Gerakan bertanding di Parlimen Bukit Gantang pada pilihanraya 2004 atas semangat setiakawan dalam BN. Kini tibalah masanya masyarakat bukan Melayu menyokong calon UMNO berikutan kemerosotan pengaruh MCA, Gerakan dan MIC dalam pilihanraya Mac 2008 yang lalu.

Perkara kedua, calon UMNO mestilah dari kalangan anak jati Bukit Gantang dan diterima oleh ketua-ketua cawangan dan UMNO Bahagian Bukit Gantang kerana merekalah yang akan bekerja kuat dan merekalah yang mengundi. Tegasnya, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi bukanlah calonnya kerana beliau bukan anak Bukit Gantang. Beliau ini adalah orang Batu Gajah, menjadi ketua bahagian Bukit Bintang.

Tambahan pula,dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) yang lalu, Abdul Azim tewas dengan majoriti 1,566 undi apabila mendapat 18,499 undi berbanding calon Pas, Roslan Shaharum yang mendapat 20,015 undi.

Pendapat saya ini disokong oleh ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shahrir Samad.
"BN biasanya cepat belajar. Saya yakin BN, terutama UMNO pasti sudah belajar daripada kesilapan dan kelemahan kempen yang dilakukan ketika Pilihanraya Kecil (PRK) di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dulu," katanya.

Menurut Shahrir, beliau percaya berdasarkan pengalaman dan pengajaran daripada kedua-dua PRK itu, BN boleh mengaturkan strategi lebih tersusun dan memilih calon tempatan yang sesuai dan popular serta diterima masyarakat.

"Saya harap BN tidak bertindak seperti dahulu, iaitu lebih mengutamakan kepentingan parti daripada kehendak pengundi," katanya kepada agendadaily.

Perkara ketiga, selain pilihan UMNO akar umbi dan UMNO Bahagian ianya mestilah mendapat sokongan daripada Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak yang baru bukannya terdiri daripada orang-orang Pak Lah atau Khairi. Sentimen anti Khairi dalam UMNO amat ketara di Kuala Terengganu. UMNO perlu belajar banyak perkara di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Perkara keempat, budaya mengutuk, menghentam, membelasah PR secara keterlaluan melalui ceramah dan media massa hendaklah diganti dengan budaya menjelas, menerang dan mesra pengundi. TV 3 jangan menjadi lebih sudu dari kuah. Isu yang berlebih-lebih akan menambah rasa meluat dikalangan pengundi atas pagar dan pengundi tidak berparti.

Perkara kelima, Isu-isu peralihan kuasa kerajaan baru ini perlu dijelaskan secara berhemah, mudah difahami oleh masyarakat luar bandar, rasional dan boleh diterima oleh akal rakyat teramai. Penerangan secara jujur dan telus amat diperlukan bagi menangkis gambaran yang telah terpesong.

Berilah rakyat berfikir dan membuat keputusan dengan ikhlas bukannya mengundi BN kerana mendapat habuan, hadiah dan janji-janji manis.