Tuesday, November 18, 2008

MINYAK TURUN – JANGAN SAMPAI ‘TAK ADA MAKNANYA...’

Terima kasih! Memang ini berita gembira.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penurunan petrol RON97 daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.

Sebagai rakyat kita bersyukur dengan usaha kerajaan menurunkan harga minyak sebanyak 15 sen berkuat kuasa hari ini. Ini merupakan kali kelima kerajaan menurunkan harga minyak di pam sejak Ogos lepas iaitu pada 23 Ogos, 24 September, 15 Oktober dan 1 November 2008.

Penurunan terbaru ini sejajar dengan penurunan harga bahan api itu di pasaran dunia dan kali kelima sejak Ogos lalu. Ia dibuat ketika harga minyak mentah di pasaran dunia hari ini berlegar pada kadar AS$55.85 (RM195).

Serentak itu, Najib meminta peniaga mengambil langkah untuk terus mengurangkan harga barang selaras dengan penurunan harga minyak supaya orang ramai mendapat manfaat sepenuhnya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut berharap pengguna akan terus mengamalkan sikap berhemah dalam penggunaan petrol dan diesel walaupun harga bahan bakar itu telah turun.

Belum diketahui bagaimana respon rakyat kepada pengumuman kali kelima ini tetapi ternyata penurunan harga runcit petrol dan diesel yang dikurangkan sebanyak 15 sen seliter untuk kali keempat pada 1 November lepas dan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilihat tidak lagi menawan hati rakyat.

Pengumuman itu menjadikan harga baru petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter dan diesel dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Jelas rakyat gembira dan menerima dengan hati terbuka tetapi tidak lagi menganggapnya sebagai sesuatu yang istimewa.

Luka yang sudah parah sukar diubati dengan pemberian ubat secara beransur-ansur. Dengan kata lain, pengguna tidak lagi beratur seperti kali pertama dan kedua harga bahan api diturunkan.

Tidaklah dapat dipastikan sejauh mana respons rakyat dengan pengumuman oleh Najib semalam.

Kenapa?

Mungkin juga rakyat sudah mula biasa dengan kehidupan harga minyak yang tinggi ketika diumumkan kali pertama Jun lalu dan pengumuman pada penghujung tahun kurang bermakna, berbanding awal atau pertengahan tahun.

Apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau kira-kira 41 peratus, kepada RM2.70 seliter daripada RM1.92 seliter pada 4 Jun lalu,, berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia ketika itu, rata-rata rakyat begitu marah dengan kerajaan.

Harapan kini ialah pada awal 2009, harga petrol umpamanya kembali di bawah RM1.90 bagi membolehkan rakyat mengubah suai semula cara kehidupan mereka seperti tahun sebelum 2008.

Saya bersetuju dengan pendapat mengatakan sewajarnya kerajaan mengkaji dengan mendalam sebelum menaikkan harga bahan api yang diumumkan sejak lima bulan lalu kerana biasalah rakyat yang akan melihat kepada masalah mereka, bukan sangat kepada penyelesaian selepas itu.

Rakyat marah kepada kerajaan kerana menaikkan bahan api tetapi berapa ramai yang memuji atau menyanjung apabila kerajaan mengumumkan penurunan dan terbaru semalam, iaitu sudah lima kali!

Pembangkang dan mereka yang mahu memburuk-burukkan kerajaan mengambil kesempatan itu dengan sebaik-baiknya dan akibatnya kepercayaan kepada pembangkang meningkat sambil keyakinan kepada kerajaan bertambah tipis.

Jangan salahkan rakyat kerana ‘harapan’ yang diberikan pembangkang ketika rakyat ‘mahu tenggelam’ lebih enak daripada penjelasan atau penerangan-penerangan punca-punca kenaikan.

Ibaratkan orang yang lemas dan dia tahu akan mati. Baginya lebih enak mati mendengar cerita bahawa bahawa ‘pelampung akan datang sekejap lagi’ daripada memberikan sebab-sebab kapal akan karam atau mencemuh nakhoda yang tidak tahu menyelamatkan kapal!

Penderitaan yang ditanggung rakyat akibat kenaikan harga barang dan menyesuaikan kehidupan mereka dalam semua aspek termasuk keperluan seharian dan persekolahan anak-anak sukar dilupakan.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Akhirnya apa juga ‘kata-kata enak’ daripada kerajaan bukan lagi madu dan penawar tetapi sekadar ‘air sejuk’ untuk melepaskan dahaga sementara.

Apabila diberikan gula oleh pembangkang, mereka akan berarak ke sana kerana menganggap penurunan sudah tidak bermakna!

Persoalan lain ialah, di sebalik pengumuman ini, apakah peniaga memberikan respon yang sewajarnya kepada usaha kerajaan ini?

Apabila Perdana Menteri membidas sikap peniaga yang tidak mahu menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah diturunkan sebanyak lima kali, ia menggambarkan betapa peniaga tidak bekerjasama dengan usaha kerajaan meringankan beban rakyat.

Dengan perbuatan sedemikian, apakah kerajaan tetap membenarkan atau membiarkan sahaja peniaga melakukan sedemikian?

Bolehkah kita katakana peniaga-peniaga bukan sahaja mementingkan diri tetapi juga ‘mensabotaj’ usaha kerajaan ‘mengurangkan beban rakyat’?

Apa langkah drastik kerajaan? Apa peranan yang dimainkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna?

Rakyat sedang memerhatikannya. Jangan pula ada suara mengambil peluang dengan mengatakan kerajaan tidak berbuat apa-apa dalam konteks kenaikan harga barangan ini.

Mereka ini bijak menangguk di air keruh – apabila tidak boleh mengkritik kerajaan selepas harga minyak diturunkan, mereka akan menggunakan pula harga barangan keperluan yang mahal.

Apabila keadaan itu berlaku usaha kerajaan menurunkan harga bahan api seolah-olah ‘tidak ada maknanya!’

Selain itu, kerajaan juga perlu bersungguh-sungguh menyokong langkah beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu memboikot peniaga yang menjual barang dengan harga mahal.

Selain usaha kerajaan sendiri, ia perlu memberikan sokongan kepada NGO supaya mengambil langkah lebih aktif berbincang dengan wakil-wakil peniaga untuk menurunkan harga barang.

Sejauh ini Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengumumkan akan menganjurkan satu perhimpunan memboikot peniaga yang masih berdegil untuk menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah diturunkan beberapa kali.

Perhimpunan itu akan diadakan di ibu negara pada Disember ini dengan kerjasama Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.